Harga minyak pasti naik kalau BN menang besar

KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa tidak ragu-ragu bahawa harga minyak akan dinaikkan jika Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihanraya ini.
-->
"Ini saya jamin," tegas beliau dalam sidang media hariannya di sini.
"Kalau Barisan Nasional (BN) menang besar, mereka akan dakwa rakyat tak ada masalah (walaupun) harga minyak naik, harga barang naik," katanya lagi sambil menambah beliau bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa pilihan raya diadakan lebih awal untuk memudahkan kerajaan BN menaikkan harga minyak.
Ketika diminta mengulas penafian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa harga minyak akan dinaikkan selepas BN menang pada pilihan raya umum 8 Mac ini, beliau menyifatkannya sebagai cakap-cakap "lidah tidak bertulang".
Husam juga tidak melihat kenyataan Najib itu sebagai satu janji. "Jaminan (yang) tidak diikat dengan apa-apa," katanya.
Beliau melihat kecenderungan menaikkan harga minyak telah bermula sejak November lalu apabila menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya dirombak sistem subsidi termasuk subsidi minyak.
Husam pernah menyifatkan cadangan Khairy itu sebagai helah untuk "mengangkasakan harga minyak".
"PM pula kata nak kaji (cadangan Khairy itu)," katanya dalam sidang media hariannya sempena pilihan raya umum di sini.
Beliau menggesa rakyat supaya jangan mengundi BN untuk menyedarkan parti itu.
"Kalau beri mandat besar (kepada BN), mala petaka akan berlaku," Husam mengingatkan.
Cetak

No comments

Powered by Blogger.