Ketua Bagan balas notis disiplin, tegas hanya mahu elak puak dalam MIC

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 28 Mei — Ketua MIC bahagian Bagan Datuk Henry Benedict Asirvatham menjawab surat tunjuk sebab disiplin dengan menekankan bahawa beliau hanya membangkitkan “agenda tersembunyi kepimpinan semasa” agar ia tidak memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau menerima surat tunjuk sebab minggu lalu dan diperuntukkan 14 hari untuk memberi penjelasan secara bertulis.

“Sebagai seorang ketua MIC bahagian, saya merasakan bahawa menjadi tugas saya untuk memastikan tidak wujud puak (dalam parti) dan hanya perpaduan ada dalam parti. “Saya mengambil tanggungjawab untuk membangkitkan agenda tersembunyi yang wujud kepada rakan-rakan saya dalam MIC menerusi kenyataan media mengenai keadaan dalam MIC sebab peruntukan perlembagaan tidak dipatuhi,” kata Asirvatham dalam jawapan bertulis kepada jawatankuasa disiplin, yang salinannya diedarkan kepada media hari ini.

Asirvatham memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau menghantar jawapan bertulis kepada jawatankuasa disiplin menerusi perkhidmatan kurier hari ini.

Dalam surat itu, kata Asirvatham, beliau berkemungkinan telah menggunakan kata-kata yang salah ataupun kenyataannya kemungkinan telah menyinggung perasaan sesetengah pihak, tetapi “saya mahu menekankan bahawa apa yang dikatakan adalah ikhlas untuk mengetengahkan kepada ahli-ahli MIC dan publik apa yang sebenarnya berlaku.”

Ada pihak dalam MIC menganggap bahawa kepimpinan baru Datuk G Palanivel, yang mengambil alih jawatan presiden Disember lalu sudah mula menerima bangkangan dari dalam parti meskipun beliau berniat mahu mengembalikan perpaduan.

Dalam surat tunjuk sebab bertarikh 18 Mei lalu, pengerusi jawatankuasa disiplin Tan Sri Dr K.S Nijhar meminta Asirvatham menjelaskan dua kenyataan media beliau iaitu tindakan Palanivel untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan ke dalam MIC adalah sebahagian daripada usaha “membunuh” timbalannya Datuk Dr S Subramaniam dan mendakwa anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti sebagai boneka yang hanya mengikut arahan ketua parti itu.

“Ini adalah tuduhan serius untuk dibuat. Oleh itu, anda dikehendaki menunjukkan bukti secara bertulis dalam dua minggu mulai hari ini (18 Mei), dengan asas-asas yang berfakta.

“Kegagalan berbuat demikian atau memberi penjelasan memuaskan, akan menyebabkan tindakan disiplin, bersamaan dengan (tindakan) pemecatan dari parti, boleh diambil ke atas anda,” kata Nijhar.

Komen-komen Asirvatham merujuk kepada keputusan CWC bulan yang menerima balik tiga pemimpin yang pernah menganjurkan kempan Gerakan Anti Samy (GAS) — V Mugilan, Kumar Aamaan dan K.P Samy. Mugilan telah dikembalikan jawatan timbalan ketua Pemuda MIC pusat dan Kumar dan K.P Samy sudah boleh menganggotai semula CWC.

Susulan keputusan CWC itu, Setiausaha Pemuda MIC, C Sivarraajh juga ada membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan mendakwa keputusan tersebut sebagai tidak sah. Sivarraajh menimbulkan persoalan adakah wajar perlembagaan parti diketepikan untuk memberi pengampunan kepada tiga pemimpin berkenaan dan menegaskan, ia bertentangan dengan Perkara 15.4 dan 61.5 perlembagaan.

Perkara 15.4 menyatakan seseorang ahli yang sudah dipecat hanya boleh dikembalikan ke jawatan asal jika merayu kepada CWC dan rayuan diterima oleh jawatankuasa berkenaan manakala Perkara 61.5 pula menyebut ahli yang dipecat hanya boleh diterima balik sebagai ahli selepas dua tahun daripada tarikh dipecat.

Sebahagian pemimpin sayap pemuda itu didakwa cenderung kepada kepimpinan timbalan presiden Datuk Dr S Subramaniam bersama ketua Pemuda MIC T Mohan. Mugilan dilaporkan akan mencabar jawatan ketua Pemuda MIC susulan penerimaan balik ke pangkuan MIC.

Jika tidak Mohan, Sivarraajh juga disebut-sebut bakal bertanding jawatan itu. Ekoran komen-komennya, Asirvatham yang juga seorang ahli perniagaan di utara Semenanjung menerima surat tunjuk sebab daripada Nijrar minggu lalu.

“Jika memerlukan bukti, saya akan membawa saksi-saksi, yang merupakan penyokong Dr S Subramaniam, dari seluruh negara dengan bas untuk membuktikan adanya usaha mahu membunuh (politik) Dr Subramaniam,” tegas Asirvatham kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

“Saya ada bukti, Palanivel membawa masuk mereka yang dipecat oleh Samy Vellu untuk memperkuatkan kedudukan beliau, bukan kerana kepentingan parti tetapi kerana bimbang dengan populariti Dr Subramaniam,” kata beliau.

Bahagian Bagan, Pulau Pinang itu, dakwa Asirvatham, digantung oleh Samy Vellu pada 2006 juga kerana Palanivel.

Bekas presiden membatalkan hukuman itu pertengahan tahun lalu ketika kempen GAS diadakan.

“Perlembagaan MIC dengan jelas menyebut mereka yang dipecat hanya boleh diambil balik selepas dua tahun (dari tarikh dipecat)... tiada peruntukan untuk pengampunan, ini canggah dengan perlembagaan.

Itu yang saya maksudkan,” katanya sambil menegaskan, tindakan Palanivel sebenarnya akan membawa kepada kehancuran MIC, bukannya menyatukan parti.

Perkara-perkara itu juga dijelaskan dengan panjang lebar dalam surat penjelasan yang dihantar kepada jawatankuasa disiplin hari ini.

No comments

Powered by Blogger.