Muhyiddin Melawat Kelantan Jumpa Guru Agama

Pusat lewat beri bantuan sekolah agama

Aslani M

KOTA BHARU, 23 Nov: Seorang Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah (JKPS) dari Pasir Puteh meluahkan rasa kecewa terhadap Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Harun Said, pengerusi JKPS sekolah agama di Kuala Nering memberitahu pernah mengemukakan masalah mengenai bantuan persekolahan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

“Saya tanya Datuk Pa pada satu perjumpaan meja bulat yang diadakan pada 2004 mengapa bantuan kepada sekolah agama rakyat dihentikan.

“Sudahlah SAR begitu lemah, letih dan ada banyak kekurangan, bantuan kewangan pula disekat tentunya menyebabkan jiwa juga menjadi lemah,” katanya ketika membangkitkan isu tersebut pada perjumpaan khas bersama Timbalan Perdana Menteri di KTC hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mencipta sejarah apabila berjumpa dengan guru-guru agama dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) pada satu program.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan pusat.

Biar pun keadaan hujan agak lebat, tidak menghalang ramai guru hadir bagi menerima bantuan infrastruktur sekolah daripada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia.

Harun berkata, sepatutnya bantuan tersebut diberi kepada sekolah agama sejak 2004 lagi bagi membolehkan pelbagai kemudahan kepada pelajar disediakan.

“Namun pada masa itu Dato’ Pa tidak menjawab apa-apa, sehingga baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan dalam bajet untuk sekolah agama,” katanya.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat ketika tampil mengemukakan soalan berharap dipertimbangkan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

“Sebagai seorang bakal Perdana Menteri, YAB hendaklah membantu Kelantan bagi mendapatkan semula royalti minyak,” katanya.

Malah beliau juga mempertikaikan wakil JPN yang berada dalam Jawatankuasa Pendidikan Negeri tidak menyalurkan maklumat kepada kementerian bagi membolehkan pelajar-pelajar sekolah agama di bawah Yik juga mendapat bantuan RM100.

Sebelum itu dalam ucapannya Menteri Pelajaran memberitahu sekolah yang tidak mendaftar dengan kementerian belum diberi bantuan RM100 kerana tiada maklumat lengkap.

“Lepas ni kena daftarlah bagi membolehkan mendapat bantuan RM100 seperti diberi kepada pelajar-pelajar sekolah lain,” ujarnya.

Muhyiddin juga meluahkan rasa bangga kerana begitu ramai guru sekolah agama hadir pada program berkenaan.

Menurutnya peranan guru-guru sekolah agama begitu penting bagi memantapkan lagi akidah dan ibadat setiap insan.

“Sekiranya kerohanian rapuh sudah tentu kita tidak dapat membina negara yang cemerlang. Sebab itulah saya datang ke sini kerana lebih pentingkan pendidikan Islam dan tidak mengambil kira soal Umno atau PAS,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.