BERSIH 4.0 Jika SPR Gagal Laksana 8 Tuntutan


Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 30 APR : Perhimpunan BERSIH 4.0 mungkin dianjurkan pada bila-bila masa sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Lapan tuntutan itu termasuklah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri, pimpinan tertinggi AMK telah mengadakan perbincangan untuk mendesak perhimpunan BERSIH 4.0 diadakan ekoran tiada kesungguhan daripada SPR untuk mendengar suara rakyat.

Katanya, ia ditambah dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk mengenakan larangan wakil calon berada di barong SPR pada hari pengundian

“Kelihatannya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti adalah sebuah pilihan raya berat sebelah, kotor dan paling dahsyat pernah berlaku di negara ini. Kita sendiri dengan jelas melihat pemimpin Umno-BN juga tidak bersungguh-sungguh mendengar suara rakyat bahkan tidak melayan langsung,” katanya.

Beliau berkata, selain menghantar mesej kepada kerajaan Umno-BN, perhimpunan BERSIH 4.0 nanti juga akan terus mendesak SPR membersihkan senarai daftar pemilih.

Beliau turut menyarankan supaya semua pengundi di seluruh negara untuk menyemak senarai daftar pemilih bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau pertukaran kawasan mengundi semasa pilihan raya nanti.

Tambahnya, perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung tempoh hari juga bertambah ramai setelah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa Pengarah SPR dan Timbalannya merupakan ahli Umno.

“Walaupun dia (Pengarah SPR) kata bebas dan adil, macam mana nak buktikan sedangkan dah jadi ahli Umno. Sesiapa yang mendaftar keahlian, dia mesti taat pada arahan kepimpinan parti itu.

Justeru, kita akan menggesa pihak sekretariat BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan itu sekali lagi dalam masa terdekat.

No comments

Powered by Blogger.