Polis Kelantan Jawab Isu Fitnah Kematian Wartawan RTM

Kematian Wartawan Sambilan RTM Bukan Diserang Penyokong Parti Politik - Ketua Polis Kelantan

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PENGKALAN CHEPA: Kematian wartawan sambilan RTM, Mohammad Yaakob, 61, di Gua Musang pada awal pagi Selasa berpunca daripada penyakit jantung dan bukan akibat diserang penyokong sebuah parti politik.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima laporan polis berhubung kejadian yang dibuat oleh isteri mangsa, Wan Tahirah Wan Ibrahim, 52.

"Pada kejadian yang berlaku pada pukul 12.45 pagi (Selasa), isteri mangsa mendengar bunyi hon kereta di luar rumah. Isunya adalah rumah (mangsa) berhampiran dengan markas parti politik. Bila kereta mereka dihalang (markas), suami kepada pengadu kemudiannya keluar dari kereta dan berlaku pertengkaran mulut.

"Bila (mangsa) masuk ke dalam rumah mula berasa sakit dada (dan) keadaan bertambah merisaukan. Dia dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia dalam perjalanan pada kira-kira pukul 1.45 pagi.

"Berdasarkan bedah siasat di Hospital Gua Musang, punca kematian disebabkan oleh serangan jantung," katanya pada sidang media selepas Taklimat Kepada Calon dan Wakil Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Negeri Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baru di sini, Selasa.

Jalaluddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mohammad yang meninggal dunia akibat serangan jantung yang didakwa berlaku selepas diserang penyokong sebuah parti politik di hadapan rumahnya di Bandar Lama Gua Musang di Gua Musang, awal pagi Selasa.

Menurut Jalaluddin, pihak polis menyiasat kes tersebut di bawah kematian mengejut.

"Mangsa mempunyai rekod sakit jantung (maka) tidak timbul dia diserang atau dipukul. Tiada kesan lebam pada mangsa," kataya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak mendengar sebarang khabar angin atau menyebarkan fitnah berhubung kejadian itu.

Sementara itu, anak mangsa, Nur Safran Mohammad berkata, pemergian arwah bapanya itu mengejutkan beliau dan keluarga kerana allahyarham sebelum ini tidak pernah mengadu mengalami masalah jantung.

Mangsa yang telah berkhidmat dengan RTM selama 25 tahun meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak berusia 27 tahun hingga 14 tahun.

No comments

Powered by Blogger.