Apa Masalahnya Dr Harun Din Dilantik Kluster Dakwah?

Ust. Hj Idris Hj Ahmad

15/2/16

Kenapa kalut sangat apabila tokoh ulama PAS berada di dalam Majlis Perundingan Islam yang dipengerusi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi? Adakah dijemput atas surat Setiausaha Agung Umno?

Bukan perkara baru Datuk Dr Haron Din menganggotai jawatankuasa kerajaan. Walaupun menjadi calon PAS dan Ahli Majlis Syura beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu penghinaan, sedangkan yang menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah Mufti.

Walaupun beliau pemimpin PAS tetapi beliau lebih dilihat seorang ilmuan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan. Beliau seorang yang cukup dihormati juga dalam kalangan istana. Ramai tokoh-tokoh korporat rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang. Mungkin ini pendekatan beliau dalam berdakwah, yang pemimpin PAS tidak boleh lakukan.

Pelik juga orang yang menuduh macam-macam kepada beliau, kerana rapat dengan orang atasan. Adakah salah? Adakah beliau tidak berkawan dengan ahli PAS bawahan dan rakyat biasa? Adakah beliau tidak menerima jemputan orang ramai untuk menyampaikan kuliah?

Berapa banyak sumbangan beliau kepada masyarakat awam melalui perubatan syifa'. Adakah salah? Mereka yang fitnah beliau, berapa ramai pula masyarakat bertemu dengan mereka untuk berdoa kepada Allah supaya menyembuh penyakit.

Saya pun pelik mereka marah kepada PAS apabila ada dalam kalangan pemimpin PAS menerima jemputan kerajaan, bukan parti. Ketika Tuan Guru Presiden PAS hadir dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek. Dituduh pula sudah bersama Umno, kerana baju sedondon.

PAS dituduh berfikiran IS dan radikal. Tetapi apabila PAS menyertai program anjuran kerajaan dituduh mengukuhkan Umno.

Kalau Pas ini IS, sudah tentu PAS tidak akan hadir dalam program kerajaan. Bukankah PAS mengambil pendekatan "muwajahah silmiah" untuk menggunakan pelbagai platform untuk menarik sokongan. Ada dalam kalangan ahli PAS bersama NGO, PIBG, persatuan penduduk, AJK masjid, AJK surau, AJK Badan Kebajikan di pejabat kerajaan. Semuanya berperanan, walaupun jawatankuasa tersebut bercampur dengan ahli Umno. Apa yang penting pengaruh dakwah dan fikrah perjuangan dapat disampaikan.

Mana-mana ahli PAS yang berada di mana-mana posisi kena berperanan, syaratnya jangan masuk Umno. Sekolah PAS turut mengambil aliran perdana sebagai silibus pengajian adakah bererti PAS mengukuhkan Umno. Berapa ramai di kalangan orang PAS yang memegang jawatan di dalam peringkat kementerian, turut merangka dasar, adakah mereka boleh dituduh mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib. Tentunya tidak.

Mungkin ada yang menjawab, ini analogi yang tidak betul. Yang betulnya apa? Yang betulnya kerana memang aku tidak suka individu di dalam PAS. Buatlah macam mana pun aku tidak setuju. Kalau orang yang aku setuju, hendak bekerjasama dengan Umno dan Tan Sri Muhyiddin pun tidak mengapa kononnya atas alasan Selamatkan Malaysia. Hendak buat konsensus nasional pun tidak mengapa. Kalau pimpinan PAS terus dikatakan PAS sudah hendak berUG. Ini masalah hati, bukan masalah politik.

No comments

Powered by Blogger.