Piala Malaysia: MB Terengganu Isytihar Cuti Hari Ahad Ini

KUALA TERENGGANU 24 Okt. -Sama ada Terengganu FC (TFC)  menang atau kalah dalam pertandingan akhir Piala Malaysia Sabtu ini, kerajaan negeri hari ini mengumumkan Ahad (28 Oktober) sebagai cuti peristiwa setelah skuad negeri menempa satu lagi detik bersejarah dalam arena bola sepak.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, keputusan itu dibuat lebih awal untuk memberi kelegaan kepada kesemua para penyokong yang akan terus memberi  sokongan padu kepada pasukan negeri yang bukan sahaja terpaksa ke Kuala Lumpur dan bergegas pulang.

Di samping itu bagi memudahkan  sektor awam,  institusi pendidikan serta individu untuk merancang urusan dan melakukan perubahan jadual serta perjalan agak tidak terjejas dan berdepan masalah.

“Sebab itu kita umumkan lebih awal,” ujarnya tentang khabar menggembirakan itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah. 

Dr. Ahmad Samsuri menyifatkan kejayaan TFC beraksi di pentas akhir yang menarik perhatian seluruh rakyat sebagai rentetan perkembangan yang penting dalam sejarah pembangunan dan pencapaian sukan negeri.

Beliau menarik perhatian akan ada ganjaran menanti pemain skuad Penyu sekiranya berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia namun perkara itu akan diumumkan kemudian. 

Kali terakhir pasukan Terengganu menjulang trofi Piala Malaysia adalah pada 2001 selepas menewaskan Perak 2-1. - UTUSAN ONLINE

No comments

Powered by Blogger.