'Memang ada komplot jatuhkan MB Perak' - Nga Kor Ming



Aida AzizAstro Awani |  November 27, 2018 21:30 MYT


KOR MING: Saya menyeru pihak UMNO BN jadilah pembangkang yang konstruktif, bukannya gunakan taktik kotor sekali lagi, cuba jatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat. - Facebook/Nga Kor Ming


IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengesahkan wujud komplot mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ekoran pengakuan dan pendedahan yang dibuat oleh beberapa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut siapa dalang sebenar komplot itu.

Sehubungan itu, kata Kor Ming, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat untuk menyiasat dalang sebenar di sebalik komplot itu.

Menurut beliau, laporan polis akan dibuat terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad dan mantan menteri besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kerana mereka mengakui ada usaha menjatuhkan Ahmad Faizal.

"Dengan pengakuan terbuka, Saarani, Zambry dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Asmuni Awi, berdasarkan kepada fakta ini, maka saya sahkan ada usaha nak cuba jatuhkan kerajaan negeri Perak.

"Memang perkara ini wujud, saya telah berbincang dengan sekretariat Pakatan Harapan yang diketuai V. Sivakumar akan buat laporan polis terhadap Saarani, Zambry dan mana-mana pihak terlibat.

"Ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 124(B) dan 124(C) Kanun Keseksaan, sekiranya ada usaha untuk menjatuhkan Kerajaan yang sahih ia adalah satu pengkhianatan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun," katanya pada sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Beliau membidas tindakan Saarani kerana cuba menimbulkan huru-hara berhubung isu tersebut.

"Saya menyeru pihak UMNO BN jadilah pembangkang yang konstruktif, bukannya gunakan taktik kotor sekali lagi, cuba jatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau kecewa dengan tindakan Zambry yang mengelak untuk menjawab soalan ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC).

BACA: Tiada niat hina PAC - Zambry

"Apabila tak boleh jawab soalan, dia (Zambry) lari dari mesyuarat PAC, ini adalah public account, bukan private account, pengerusinya buat tindakan yang betul dengan menjadikan ia sesi pendengaran awam.

"DUN telah memberikan kuasa kepada Pengerusi PAC, dan mereka boleh buat prosedur sendiri sama ada terbuka atau tertutup, jelas Zambry cuma beri alasan saja, cuba mengelak untuk dedahkan perkara sebenar dalam MB Inc.

"Laporan audit bukan dokumen rahsia rasmi, ia seperti minit mesyuarat MMK atau kertas Kabinet...laporan audit mana boleh jadi rasmi, jika rahsia..audit buat apa lagi? Tiada isu dalam hal itu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.