Kenyataan media mangsa rogol PLKN

Keputusan Mahkamah Tinggi di Terengganu membebaskan jurulatih PLKN, Zuki Bin Mohd amatlah mengejutkan. Sebagai pengamal undang-undang, keputusan tersebut dihormati walaupun secara ‘legal’nya kita berhak berbeza dari sudut pentafsiran ruang lingkup perundangan dengan syarat ianya mestilah dilakukan secara hujah yang bersandaran.

Kes ini amat menarik, apabila inilah kes pertama melibatkan jurulatih PLKN ketika PLKN di awal perlaksanaannya. Walaubagaimanapun, seorang menteri pernah menafikan kejadian rogol tersebut berlaku, tetapi keputusan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu ketika menjatuhkan hukuman kepada Zuki membuktikan jenayah rogol tersebut benar-benar berlaku.

Sebagai peguam yang telah dilantik sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa saya mengikuti kes ini sehingga keputusan baru-baru ini walaupun tidak lah kesemuanya secara langsung. Atas arahan mangsa saya telah memfailkan Writ Saman sivil terhadap tertuduh dimana Mahkamah Tinggi dimana Mahkamah Tinggi telah mengarahkan jurulatih berkenaan membayar gantirugi kepada mangsa akibat perlakuan rogol tertuduh.

Dalam membacakan keputusannya, Hakim Yang Arif Dato’ V.T Singham baru baru ini menyebut bahawa kelewatan membuat repot adalah antara alasan bahawa terdapat keraguan bagaimana kejadian rogol berlaku yang memungkin elemen “consent”(kerelaan) wujud. Ini adalah kerana mangsa sepatutnya melihat bahawa kejadian rogol perlu dilaporkan secepat mungkin. Hujah ini mungkin ada benarnya.

Namun apakah itu realiti sebenarnya? Saya ingin menarik perhatian semua, bahawa mangsa dalam keterangan bersumpahnya menyebut bahawa beliau telah dikurung dan dikuarantin di dalam kem serta diasingkan dari pelatih-pelatih lain selepas menceritakan kejadian rogol tersebut kepada jurulatih wanitanya. Malahan, jurulatih tersebut turut meminta agar mangsa mempertimbangkan tindakan melapor kepada pihak polis kerana kemungkinan ia memalukan keluarga mangsa, walaupun motif sebenar mungkin kerana takut tembelang sebenar bocor! Persoalannya adakah mangsa benar-benar melengahkan laporan polis atau terpaksa berhadapan karenah kem yang dikatakan mengurung mangsa sebelum laporan polis MAMPU dibuat? Keterangan mangsa amat konsisten dalam menceritakan bagaimana maruah beliau diragut dan kenapa laporan polis dilengahkan…

Saya mewakili mangsa amat sedih dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini dan amat berharap agar pihak pendakwaan mengemukakan rayuan secepat mungkin kepada Mahkamah Rayuan kerana terdapat dengan izin, “kecelaruan yang amat jelas” dalam keputusan tersebut apatah lagi ia melibatkan isu perundangan yang amat fundamental dan penting. Ini adalah penting demi sebuah keadilan kepada mangsa dan semua pihak. Atau..apakah nilai keadilan itu hanya pada sekeping kertas bernama laporan?

Mangsa sehingga kini mengalami trauma yang teruk dan sedang menjalani rawatan di Klinik Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya. Saya juga mendapat arahan tegas dari mangsa untuk memulakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memfitnah, mengaibkan dan menjatuhkan maruah mangsa di dalam apa jua keadaan termasuk di media massa dan media baru.

Oleh yang demikian, saya berharap pihak-pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mangsa atau yang boleh menjejaskan perjalanan perkara ini di Mahkamah. Saya juga berharap agar tindakan terhadap tertuduh menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam mengendalikan kem serta bertanggungjawab dalam setiap perlaksanaan program dilaksanakan.

MOHD FADZLI BIN MOHD RAMLY
Peguam pemerhati/Peguamcara mangsa

(Sumber)

No comments

Powered by Blogger.