MB Selangor pemimpin pilihan rakyat – Oleh Adil Mat Selamat


Setelah pilihan raya umum 2008, DAP, PAS dan PKR telah berjaya menumbangkan UMNO-Barisan Nasional di Selangor, salah satu negeri terkaya dan terkuat yang diperintah oleh UMNO selama ini. Setelah itu, Pakatan Rakyat terbentuk.

Entiti yang dinamakan Pakatan Rakyat ini tertubuh atas kehendak dan desakan rakyat, Pakatan Rakyat bukan ditubuhkan atas keinginan individu atau mana-mana pemimpin, tetapi rakyat.

Jadi, siapakah yang dimaksudkan sebagai ‘rakyat’ itu? Iaitu rakyat Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan rakyat Malaysia. Siapa pula rakyat Malaysia? Iaitu semua manusia Melayu, Cina, India, masyarakat Sarawak dan Sabah dari semua keturunan dan agama.

Maka, Ketua Menteri dan Menteri Besar yang dipilih ini adalah Menteri yang direstui oleh rakyat. Tanpa mandat rakyat, tak mungkin mereka itu boleh menjawat jawatan tersebut. Ini hakikat yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, tolak ketepi soal ‘politiking’ (main politik) kerana soal itu juga masih bergantung kepada sokongan dari rakyat. Jadi soal main politik tidak timbul sama sekali.

Beza dengan pilihan PM

Ia berbeza dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri UMNO-BN kerana, sudah menjadi amalan politik BN dan UMNO selama ini bila mana peranan dan pengaruh politik Perdana Menteri, menjadi faktor penentu seseorang calon menjadi ketua pentadbir negeri. Lihat saja di Perlis, Terengganu, Johor, Melaka dan Pahang.

Dalam hal Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Selangor, semua tahu bahawa beliau mempunyai reputasi yang sangat cemerlang ketika berkecimpung dalam bidang korporat. Beliau dikenali kerana kemahiran dalam mengurus akaun, sumber manusia, aset termasuk hartanah dan juga pelaburan ekonomi.

Dengan kata lain, seseorang yang menjawat jawatan sebagai CEO ( Ketua Pegawai Eksekutif ) syarikat multinasional, pastilah memiliki keupayaan mengurus dengan bagus. Siapa pun di kalangan kita hatta pemimpin UMNO sekali pun akan tetap mengakui hakikat ini.

Jadi, sebagai seorang bekas pengurus yang berjaya dan direstui oleh rakyat, pastilah kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim ini akan memberi ancaman besar kepada kempen politik UMNO dan BN dalam usaha untuk menawan kembali negeri Selangor dalam PRU 13 nanti.

Isu yang bukan isu

Isu air dan Talam Corporation yang di‘spin’ oleh BN menerusi mainan politik MCA adalah serangan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar rakyat ini, itu sahaja niat dan matlamatnya. Tidak ada skandal dan tidak ada bukti. Sebaliknya semua dakwaan ini mula terbongkar kesahihannya.

SYABAS – syarikat yang diterajui oleh Tan Sri Rozali Ismail yang juga Bendahari UMNO Selangor – mahu catu air atas dakwaan bekalan air kurang, tetapi hujan di Lembah Klang akhir-akhir ini menceritakan sebaliknya. Apa tujuannya? Apa kita lupa bahawa air dan tanah adalah hak negara?

MCA dakwa berlaku ketirisan apabila kononnya kerajaan negeri telah membayar lebih dari yang sepatutnya kepada Talam. Tetapi bila diselidiki, nyata tuduhan itu berpunca dari kelemahan mengira dan ketiadaan ilmu ekonomi oleh pihak yang mendakwa.

Oleh itu, jika kita lihat dari semua serangan yang pernah dilakukan oleh UMNO (Isu tanah), MIC (isu kuil), third force yang guna nama Islam (isu murtad) dan kini MCA (isu rasuah), semuanya gagal membuktikan kepincangan urus tadbir Tan Sri Khalid dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Tiada modal, buat fitnah

Serangan ini juga membuktikan kecemburuan UMNO dan BN bila mana Pakatan Rakyat berjaya menampilkan tokoh seperti Tan Sri Khalid sebagai pengurus yang cekap dalam memenuhi keperluan rakyat.

Sifir UMNO BN agak mudah, nak tewaskan PR maka mereka akan serang dan fitnah Anwar Ibrahim habis-habisan. Nak tumbangkan negeri Selangor dan Pulau Pinang, maka mereka akan menfitnah Lim Guan Eng serta keluarganya dan memburuk-burukkan Tan Sri Khalid.

Nak bangkitkan kemarahan Melayu, mereka cipta fitnah kononnya Lim Kit Siang terlibat dalam tragedi 13 Mei 1969. Malah sudah ada filem yang dibuat untuk menyalahkan DAP. Begitu terdesak sekali mereka yang mahu terus bergayut dengan kuasa.

Nak gagalkan PAS, mereka cucuk isu hudud sedangkan UMNO sendiri menolak hudud; nak bungkam DAP yang perjuangkan demokrasi pelbagai kaum dan agama, mereka jolok isu negara Kristian dan parti Cina, walau pun parti Cina yang tidak membenarkan kaum lain menyertainya adalah MCA.

Akhirnya, UMNO berjuang dengan memperalatkan agama dan perkauman dengan cara memfitnah. Yang mengerikan, dalam jangka panjang, mungkin orang bukan-Islam akan menyangka bahawa apa yang UMNO, lidah rasminya Utusan dan lidah tak rasminya TV3 sebarkan itu adalah Islam.

Kita sebagai rakyat, perlu menolak amalan politik sebegini. UMNO sudah hilang kelayakan untuk mengurus Malaysia. Cukuplah peluang 54 tahun itu, kini giliran PR pula untuk diberi ruang dan peluang untuk membuktikan yang kita boleh buat lebih baik dari UMNO dan BN. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.