PAS setuju Anwar jadi ADUN, bukan MB


Ikhwan Zulkaflee


PKR harus berbincang dengan semua parti komponen PR yang lain sekiranya ingin menggantikan kerusi menteri besar.

PETALING JAYA: Tiada masalah bagi PAS untuk menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang lantaran kerusi tersebut merupakan kerusi PKR.

Namun, menurut Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PKR harus berbincang dengan semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain sekiranya ingin menggantikan menteri besar popular Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Anwar.

“KIta melihat keputusan yang diambil oleh PKR ini merupakan hak mereka kerana itu memang kerusi PKR. Kita tiada masalah mereka meletakkan mana-mana calon pilihan mereka.

“Tapi sekiranya melibatkan perubahan jawatan menteri besar ia perlu dibincangkan dahulu dengan PAS dan DAP sebelum buat apa-apa keputusan,” katanya apabila dihubungi FMT hari ini.

Sambil menegaskan bahawa PKR tidak boleh membuat keputusan bersendirian dalam mentadbir Selangor, Tuan Ibrahim mengakui terkejut mengenai perkembangan terbaru yang berlaku di Selangor.

“Kita pun rasa terkejut dengan keputusan tersebut. Kita sedar ada beberapa masalah dalaman yang berlaku di Selangor seperti isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan beberapa lagi, tapi tak sangka sampai melibatkan perubahan kerusi menteri besar,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui hubungan PAS dalam PR tidak terjejas dengan isu yang berbangkit.

“Kita yakin akan ada perbincangan selepas ini dalam persiapan mengahadapi pilihan raya kecil (PRK) Kajang nanti dan pimpinan PR akan membincangkan mengenai isu ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, menerusi satu kenyataan berkata PAS telah menunaikan tanggungjawab sebagai rakan dalam PR dengan memberikan pandangan dan nasihat yang sewajarnya kepada Anwar.

“Apabila PKR telah membuat keputusan untuk bertanding dan meletakan Anwar sebagai calon , PAS sekali lagi telah menyatakan sokongan diatas semangat kerjasama PR,” katanya.

Tambahnya lagi, PAS bersedia membantu PKR dan Anwar dalam PRK Kajang di saat rakyat dilihat marah dengan tindakan parti itu yang dilihat seperti membazirkan wang rakyat.

“Dalam keadaan seperti ini saya rasa pastinya PAS terus menunjukan sikap jiwa besarnya untuk menghulurkan tangan bagi membantu apa saja cara dan pendekatan untuk memastikan kejayaan PR mempertahan kerusi DUN Kajang.

“Adalah penting disaat-saat sukar begini Pas terus dilihat sebagai rakan yang setia dalam persahabatan. Sekiranya isu dan masalah dalaman yang melibatkan PR ada yang PAS tidak puas hati, PAS akan menggunakan saluran sewajarnya untuk menyatakan sikap dan pendirian kita,” jelasnya lagi.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun enggan mengulas isu ini.

Semalam, PKR dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Anwar akan dicalonkan bagi merebut kerusi Kajang yang kosong setelah penyandangnya Lee Chin Cheh, juga dari PKR, meletakkan jawatan.

Tindakan Lee itu menghangatkan spekulasi bahawa Anwar bakal mengambil alih jawatan menteri besar bagi meleraikan pergelutan kuasa di Selangor di antara Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali walaupun Anwar menafikannya.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR berkata tindakan tersebut merupakan strategi PKR untuk mengukuhkan kekuatan parti tersebut di Selangor.

No comments

Powered by Blogger.