BAJET BARAKAH




Oleh: Mohd Asri Mat Daud

Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami). Maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
(Al-A’raf: 96)

Kerajaan Negeri Kelantan baharu sahaja selesai membentangkan Belanjawan 2016 yang bertemakan “Keberkatan Membawa Kemakmuran” di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ketigabelas pada hari ini. Pembentangan pada kali ini ditumpukan kepada lima teras utama iaitu Pembangunan Insan, Kerancakan Ekonomi, Pembelaan Golongan Tidak Berkeupayaan, Pengukuhan Institusi Dan Badan Pelaksana dan Pengukuhan Kewangan Negeri.

Pembentangan bajet ini sudah pasti akan menggerakkan Kelantan terus maju ke hadapan berpaksikan tiga tonggak utama iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ketiga-tiga tonggak ini adalah teras asas yang setiap satunya merupakan pra-syarat kepada turunnya barakah di bumi Serambi Mekah ini. Barakah bukan hanya membawa makna bertambah dan berkembang, malah perkembangan dan pembangunannya dikecapi bersama dengan kebahagiaan dan ketenangan yang membawa Kelantan kepada kemakmuran kerana mendapat rahmat daripada Allah SWT. Negeri yang mempunyai barakah dan makmur akan membawa kebajikan kepada rakyatnya. Inilah intipati daripada bajet yang telah dibentangkan oleh YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan pada pagi tadi.

Barakah kehidupan dibawah payungan Syariat dapat dilihat dengan jelas di Kelantan apabila kita meneliti kepada kadar kemiskinan yang telah menurun dari 29.5 peratus pada tahun 1992 kepada 0.9 peratus pada tahun 2014. Inilah sebahagian daripada keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada Negeri Kelantan walaupun menghadapi kekangan kewangan. Alhamdulillah, Kerajaan Kelantan mampu memperuntukan kewangan bagi tujuan membasmi kemiskinan yang ada di Kelantan. Kita dapati bahawa skim-skim bantuan kepada golongan dhaif dan miskin, orang kelainan upaya, armalah dan warga emas diberi keutamaan. Dalam bajet 2016, sebanyak RM2.55 juta telah diperuntukan di bawah program pembelaan rakyat miskin, RM3.3 juta untuk program Al-It’am yang diagih pada setiap bulan dan RM1.8 juta untuk bantuan baja. Sejumlah RM800 ribu juga diperuntukkan bagi Program Kesihatan Rakyat Miskin. Selain itu, Kerajaan Kelantan menyediakan bantuan kepada golongan Armalah dan Anak Yatim dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tahun 2016 berbanding RM4.5 juta pada tahun 2015. Sementara Bantuan Am Bulanan kepada golongan yang tidak berkemampuan ditambah pada bajet kali ini iaitu dengan jumlah RM10.6 juta berbanding RM9.92 juta pada tahun 2015.

Bajet Barakah Kelantan 2016 ini juga sangat mengutamakan sektor pembangunan Insan dan pendidikan. Peruntukan untuk aktiviti-aktiviti bina insan, dakwah dan tarbiyah, penerapan kefahaman agama dan kecemerlangan ibadat sahaja telah diperuntukan sejumlah RM10.71 juta. Bajet ini tidak dikesampingkan program yang mendidik rakyat seperti Tafaqquh Fiddin dan program bersama para ulama pondok. Tafaqquh Fiddin walaupun sudah lama diterapkan di Kelantan tetapi ianya akan dijadikan program bersepadu di seluruh jajahan. Dalam aspek pembangunan pendidikan, penambahan bajet telah diperuntukan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM78 juta. Ini tidak ditambah dengan peruntukan yang berkaitan dengan projek pembangunan baru, menaiktaraf dan menyelenggara bangunan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan termasuk aspek pendidikan dan pembelajaran untuk pra sekolah, aktiviti pendidikan, bantuan pelajaran, dana pendidikan guru YIK dan program pengajian tinggi yang menjadikan jumlah peruntukan pendidikan ini mencecah RM100 juta.

Perlu diketahui bahawa Kelantan telah memiliki sistem pendidikan yang tersendiri dan unik di bawah YIK juga KIAS, yang dipertahankan hingga ke hari ini. Institusi ini dipertahankan kerana ia merupakan aset bernilai dan unik untuk membina generasi ummah mengikut acuan Membangun Bersama Islam yang telah diasaskan sekian lama. Kerajaan Kelantan terpaksa menyediakan perbelanjaan yang besar setiap tahun dalam sektor pendidikan ini bagi menjana hasil yang bukan sekadar diukur secara fizikal dan material, tetapi ia adalah khazanah yang berharga terhadap tamadun ummah dan penyediaan modal insan.

Dalam membangunkan anak muda yang merupakan aset penting kepada agama dan negara, Kerajaan Kelantan sentiasa memberi perhatian dan meningkatkan usaha untuk melahirkan anak muda Kelantan bermaruah dan mempunyai kemantapan dari pelbagai aspek meliputi syakhsiah, intelek dan akademik di samping pembangunan fizikal dan sosial yang cemerlang. Kerajaan Kelantan menyediakan program teras seperti program Anak Muda Kelantan (AMK) dan Program Bina Ummah (PBU) yang telah dilaksanakan di semua jajahan bagi meninggalkan kesan yang sangat positif kepada pentarbiyahan anak muda negeri ini. Dengan demikian, pada pembentangan tadi, YAB Menteri Besar telah menyatakan sejumlah RM5.5 juta diperuntukan khususnya dalam pembangunan belia dan sukan di negeri ini.
Kerajaan Negeri Kelantan juga terus meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada rakyat bahawa aspek kebajikan yang paling utama ialah apabila pemimpin dan rakyat sesebuah kerajaan dapat akur segala perintah Allah. Oleh itu, YAB Menteri Besar Kelantan seringkali menekankan bahawa Kanun Jenayah Syariah ialah agenda yang melangkaui aspek politik dan lain-lain. Usaha untuk membawa usul bagi membuat pindaan terhadap akta 355 Akta Mahkamah Syariah di persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang diteruskan. Kita faham bahawa hasrat yang sudah lama ini bukan mudah untuk dicapai dan pelbagai kemungkinan mesti diletakkan dihadapan. Namun, kita perlu sedar bahawa Private Members Bill yang telah dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada dua persidangan lalu telah tersenarai dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat. Begitu juga isu berkaitan Kanun Jenayah Syariah ini telah menjadi isu antarabangsa yang diperbincangkan disemua peringkat. Maka ini adalah kejayaan dan anugerah yang telah dikurniakan Allah dan kita semua mengharapkan kejayaan yang lebih besar selepas ini. Diatas semangat dan tanggungjawab besar ini, Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan peruntukan sejumlah RM1 juta untuk Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II pada bajet 2016. Usaha ini mesti didokong dan disokong oleh semua pihak.

Pada 31 Oktober 2015 lepas, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan telah melancarkan Sambutan Tahun Melawat Kelantan 2016 di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV. YAB Menteri Besar ketika mempersembahkan ucapan pada majlis tersebut telah menekankan agar sektor pelancongan juga perlu diberi perhatian yang serius khasnya bagi menyambut kira-kira 5 juta pelancong yang dijangkakan sehingga penghujung tahun 2015 ini. Usaha telah digerakkan semaksima mungkin agar Kelantan berjaya muncul sebagai destinasi pilihan pertama pelancongan domestik, di samping meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa berasaskan penampilan negeri Kelantan sebagai hub-pelancongan Islam, warisan, budaya dan kesenian. Kelantan sangat mengutamakan Program-Program Penghayatan Islam yang sememangnya menjadi agenda utama dan secara tidak langsung mampu menjadi produk pelancongan berdaya tinggi. Untuk tahun 2016, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM3.6 juta bagi Program Pembangunan Pelancongan, Pembangunan Seni dan Budaya dan Galakan Kebudayaan berbanding pada tahun lalu hanya sebanyak RM2.2 juta. Manakala jumlah keseluruhan peruntukan untuk menjayakan sektor ini adalah sekitar RM6.9 juta.

Walaupun Bajet Negeri Kelantan bagi tahun 2016 merupakan belanjawan defisit di mana perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi ialah berjumlah RM593.8 juta, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM639.41 juta. Defisit bagi tahun 2016 dijangka berjumlah RM45.61 juta, berbanding dengan anggaran defisit dalam bajet tahun 2015 yang berjumlah RM70.69 juta.

Walaubagaimanapun, anggaran hasil tahun 2016 telah menunjukkan peningkatan berbanding Anggaran Hasil Tahun 2015 yang berjumlah RM530.83 juta. Peningkatan ini antaranya adalah anggaran bayaran Perdagangan Karbon yang dijangka mendatangkan hasil sebanyak RM50 juta apabila Kerajaan Negeri meluluskan hasil berkenaan nanti. Perdagangan Karbon ini insya-Allah akan diusahakan di kawasan-kawasan HSK pada seluas 300 ribu hektar yang tidak terlibat dalam kelas fungsi hutan pengeluaran, kawasan zon ladang, kawasan terlibat dengan empangan di bawah kendalian TNB Sdn Bhd dan lain-lain kawasan.

Perlu diketahui bahawa sekalipun bajet ini adalah bajet defisit, ia sama sekali tidak akan merencatkan pembangunan negeri Kelantan berasaskan pertimbangan bajet defisit ialah satu isu yang biasa. Semenjak awal pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kelantan, bajet yang dibentangkan sentiasa defisit namun di akhir tahun, berlaku lebihan hasil daripada kecekapan pengurusan dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan. Untuk rekod, pada tahun 1992, dalam anggaran bajet, Kelantan mengalami defisit sebanyak RM16.63 juta, tetapi ketika perbelanjaan sebenar, Kelantan mempunyai lebihan RM9.32 juta. Begitu juga pada tahun 1993, semasa anggaran bajet dibuat, defisit sebanyak RM27.27 juta, tetapi selepas perbelanjaan sebenar, Kelantan masih mempunyai lebihan sebanyak RM30.33 juta. Insya-Allah Kelantan akan terus memacu pembangunan ummah dengan panduan Syariat dan rakyat di negeri ini sentiasa di ampuni Allah dengan dilimpahi barakah yang berterusan. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


(Penulis ialah Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kelantan)

No comments

Powered by Blogger.