PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK AGAMA BUKAN ALAT HIBURAN



PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
AGAMA BUKAN ALAT HIBURAN

Perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW adalah contoh ikutan terbaik sepanjang zaman. Tuhan memilih baginda diantara sekalian manusia sebagai pembawa risalah Islam melalui wahyu-wahyu yang diturunkan kepadanya. Cara terbaik untuk menguruskan kehidupan di dunia ini agar beroleh kejayaan hanyalah dengan mengikut segala jejak yang pernah ditinggalkan oleh baginda SAW.

Menyanjungi tokoh-tokoh Islam seperti Abdul Qadir Jailani, Imam Syafie, Imam Ghazali dan selainnya tidak menjadi salah. Tetapi ramai dikalangan manusia yang terlalu menyanjungi mereka sehingga menjadi taksub dan lupa kepada batang tubuh Rasulullah SAW. Padahalnya semua ulama-ulama dan tokoh Islam mengambil tauladan dari baginda SAW sendiri.

Walaubagaimanapun, sirah Rasulullah SAW bukanlah semata-mata cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari maulud, memuja umur, pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata mahupun slogan-slogan yang ditulis pada sepanduk. Tetapi perlu digunakan buat memahami dan menghayati untuk diamalkan dalam apa jua ruang kehidupan seharian.

Kepada orang-orang yang meneruskan perjuangan melalui slogan-slogan, melalui qasidah-qasidah dan nasyid-nasyid sahaja, atau sekadar memuji dan memuja dengan lidah dan dengan dakwah yang cair sebegitu, kita peringatkan dengan Firman Allah SWT:
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
[Al-Anaam:70]

Masjid Rusila
13/11/15

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments

Powered by Blogger.