[Artikel] APAKAH MATLAMAT SERANGAN DI TURKI? -Said Imaduddeen Norhisam
[Artikel] APAKAH MATLAMAT SERANGAN DI TURKI? -Said Imaduddeen Norhisam
Bukan lagi suatu kejutan bagi masyarakat di Turki apabila berlakunya serangan bom di Turki pada saat ini. Mungkin antara kita yang berada di luar Turki tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi di Turki? Malah mungkin ramai antara kita juga tertanya-tanya apa matlamat serangan yang dilakukan pengganas terhadap Turki, iaitu sebuah negara yang menggnggotai NATO, mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan Israel dan terkenal dengan rata-rata rakyatnya yang sekular yang mengagungkan Mustafa Kamal Attaturk.
Namun kita juga perlu sedar bahawa suasana dan pengamalan Islam di dalam Turki sudah banyak berubah hingga saat ini. Usaha-usaha untuk menjalin hubungan dengan negara-negara Islam seperti Saudi, Somalia, Pattani, Pakistan, Sudan, Malaysia dan Indonesia sudah bertambah rancak sejak akhir-akhir ini. Sungguhpun berada dalam suasana sekular namun kebebasan beragama itu sudah mulai dilihat dan cara hidup islam sudah mula mengesan rakyat Turki secara umumnya.
Turki pada tahun 1990-an dahulu, kerana ketidakstabilan situasti politiknya adalah sebuah negara yang sering menerima dana dan bantuan dari luar kerana mengalami kadar inflasi yang tinggi, defisit bajet yang tinggi dan mempunyai defisit tinggi untuk akaun semasanya kini telah berubah menjadi antara negara yang paling banyak menderma dan membantu negara-negara miskin dan tertindas yang lain. Pencapaian ekonominya yang meningkat mendadak berkali ganda semasa pemerintahan AKP telah membuatkan Turki menjadi negara ke-17 ekonomi terbesar di dunia pada saat ini.
Pencapaian yang dicapai oleh Turki pada saat ini pastinya menimbulkan rasa dengki negara-negara disekelilingnya yang pada saat ini mengalami permasalah ekonomi, peperangan dan perebutan Kuasa. Berdasarkan buku “ The Next 100 years” karangan George Friendman, Turki adalah salah satu negara yang paling berpotensi untuk mencabar Amerika Syarikat pada masa mendatang kerana Turki mempunyai kekuatan tentera yang besar, ekonomi yang meningkat pesat serta mendapat sokongan dan pengaruh dari Negara-negara Islam yang lain.
Salah satu caranya untuk mensabotaj kejayaan, pengaruh dan perkembangan yang dicapai Turki pada saat ini adalah dengan membawa Turki kembali kepada ketidakstabilan politik yang pernah mereka hadapi pada 80-an dahulu. Kekacauan dan konflik antara kaum akan cuba diapi-apikan pihak berkepentingan agar Turki kembali tidak stabil dan menjadi seperti Negara-negara Timur tengah yang lain. Isu Turki-Kurdi mula ditimbulkan semula, walaupun bangsa Kurdi yang berpegang pada Islam di Turki sebenarnya adalah penyokong kuat parti AKP dan Erdogan.
PKK/YPG/PYD yang mengatakan mereka adalah mewakili masyarakat Kurdi sebenarnya hanyalah golongan minoriti yang dianggotai oleh masyarakat Armenia yang mempunyai dendam lama, mereka ini mengaku diri mereka adalah berbangsa Kurdi. Syeikh Badiuzzaman Said An-Nursi yang berbangsa Kurdi adalah seorang alim ulama’ yang dihormati semua masyarakat muslim di Turki. Bahkan, sebelum penubuhan (negara bangsa) Republik Turki, tidak berlaku sebarang isu diantara bangsa Turki-Kurdi.
Gerakan subversif yang mengaku memperjuangkan isu Kurdi ini sebenarnya adalah pengkhianat bangsa Kurdi yang mahukan Turki kembali berada dalam situasi politik yang tidak stabil. Ia adalah sebuah gerakan yang dipergunakan musuh, kerana kejahilan mereka berkenaan situasi politik semasa, untuk menjatuhkan Turki atas sebab hasad dan takut Islam kembali diamalkan oleh masyarakat di Turki.
Tindakan ISIS yang juga terlibat dalam beberapa siri letupan juga adalah untuk menimbulkan kekacauan di dalam Turki dengan menggunakan isu sektarianisme Sunni-Alewiah, Muslim-Sekular agar masyarakat bermusuhan antara satu sama lain. Musuh-musuh Turki cuba menggunakan pelbagai isu untuk mengadakan permusuhan diantara masyarakat setempat seperti mana yang berlaku di Syria (Sunni-Syiah), Yaman (Sunni-Syiah), Myanmar (Muslim-Buddist) dan juga di tempat-tempat lain.
Strategi “Divide and Conquer” (Pecah dan Perintah) ini adalah strategi paling berjaya untuk menghuru-harakan masyarakat yang hidup aman damai. Sedangkan kita semua jelas bahawa peperangan yang berlaku di negara-negara bergolak ini bukanlah kerana sektarianisme atau rasisme, namun adalah kerana hak dan batil.
Kita menyeru masyarakat dunia agar sama-sama kita bersatu walaupun berlainan ras, warna kulit, mazhab, bangsa mahupun agama. Hanya dengan bersatunya kita menentang kezaliman dan pengkhianatan barulah kita mampu melawan strategi musuh yang sering digunakan ini. Bersama-sama kita mengutuk dan mengecam sebarang tindakan atau aksi keganasan yang dibuat atas nama bangsa mahupun agama.
Teruskan bersama-sama kita memberi sokongan kepada pemerintah Turki agar bersabar dan terus tabah menghadapi cabaran pada saat getir ini. Media dunia barat sedang menyebarkan propaganda bahawa Turki pada saat ini berada dalam huru-hara dan tidak selamat. Ayuh sama-sama kita sebarkan dan gagalkan usaha ini. Musuh pastinya mempunyai sumber yang terhad, mereka pasti akan berputus asa dan terpaksa mencari jalan lain pula andai kita mampu bersama-sama menggagalkan usaha jahat mereka pada saat ini.
Turki masih lagi Negara yang aman damai dan selamat untuk dikunjungi. Langkah keselamatan yang dipertingkan pada saat ini pasti membuatkan para pengganas lebih sukar mencapai matlamat yang ingin mereka capai. Ayuh kita berikan sokongan kita kepada masyarakat di Turki.
Gambar ihsan alarabiya.net
No comments
Post a Comment