KREDIBILITI YB RAFIZI SANGAT MERAGUKAN DENGAN TUDUHAN BERSUMBERKAN DENGAR CAKAP



Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali

1. Sidang media oleh YB Rafizi dalam isu tuduhan kaitan PAS dengan dana 1MDB menunjukkan betapa beliau seorang yang tidak berkredibiliti dan tidak boleh dipercayai. Bagaimana beliau boleh membuat tuduhan berasaskan sangkaan dan sumber yang tidak jelas?

2. Sekiranya bekas pegawai SPRM yang dirujuk oleh beliau sebagai sumber tuduhan beliau adalah orang sama yang saya dan beberapa pimpinan PAS temui sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan berkaitan siasatan isu 1MDB, maka sangat jelas bahawa YB Rafizi agak bermasalah dalam menilai maklumat yang disampaikan kepada beliau.

3. Dalam pertemuan kami, bekas pegawai tersebut menyebut bahawa beliau “merasakan” pernah melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam “seimbas lalu” sahaja yang “dirasakan” mempunyai nama seseorang yang pernah ada kaitan dengan PAS.

4. Berulang kali saya minta dibuat pengesahan nama. Beliau menyatakan hanya melihat sepintas lalu sahaja. Justeru,  kami meminta beliau membuat pengesahan dan mendapatkan kembali fail tersebut. Beliau berjanji untuk mengusahakannya walaupun agak sukar kata beliau kerana fail tersebut bukan lagi berada pada tangan beliau.

5. Beliau juga tidak menyatakan jumlah wang yang terkait dan juga tidak dapat menyatakan tarikh berkaitan. Semuanya hanya bersifat maklumat lisan tanpa sebarang dokumen dan sebarang evidence.

6. Kami menganggap ianya hanya satu bentuk maklumat yang sangat longgar dan tidak sesuai utk dijadikan isu atau diambil tindakan lanjut secara lebih konkrit.

7. Sehingga kini segala dokumen yang kami perlukan belum dibekalkan oleh pegawai SPRM berkenaan (sekarang beliau adalah pesara).

8. Kenyataan YB Rafizi juga hanya bersumberkan maklumat pegawai SPRM secara lisan dan kenyataan itu juga tidak disertakan dengan sebarang bentuk maklumat terperinci mahupun sebarang dokumen pembuktian.

9. Persoalannya; bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini  dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan? Seterusnya disebarkan pula ke seantero dunia yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya?

10. Kaedah pengadilan Islam yang diterima oleh dunia pengadilan menyebut:

“Bukti adalah kewajipan ke atas pendakwa”.

Adakah sumber maklumat yang tidak jelas sebegitu adalah “bukti”?

11. Kaedah pengadilan juga menyatakan:

“Seseorang itu secara asasnya adalah bebas daripada sebarang tuduhan”.

12. Mungkin kegelojohan mencipta isu untuk menarik khalayak bagi kepentingan politik sempit mendorong beliau melakukan sesuatu yang tidak beretika.

13. Kenyataan YB Rafizi yang bersifat tuduhan ini adalah dalam konteks niat jahat memalitkan isu ini kepada PAS dengan bersandarkan “cakap dengar” sahaja tanpa sebarang pembuktian.

14. Orang yang dituduh pula tiada lagi kaitan dengan PAS. Jika ada kaitan sekalipun apa bukti sebarang transaksi kewangan kepada PAS daripada individu yang dituduh itu.  Semuanya hanya bersifat sangkaan untuk mencipta persepsi jahat. Betapa ramai rakyat Malaysia yang jatuh berdosa menyebarkan tuduhan kerana ia dicetuskan oleh seorang bergelar YB.

15. Rakyat telah menilai betapa gelojohnya YB Rafizi membuat tuduhan berasaskan cakap dengar hanya semata-mata kebencian kepada PAS dan juga semata-mata kerana menentang RUU 355 yang diusahakan oleh PAS.

16. Justeru, saya menyeru YB Rafizi untuk segera bertaubat kepada Allah daripada dosa merosakkan nama seseorang dengan tuduhan palsu dan tuduhan yang tidak mempunyai asas yang jelas dan kabur.

Allah berfirman

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

_”Dan orang-orang yang menyakitkan orang-orang beriman lelaki dan perempuan dengan sesuatu yang tidak dilakukannya maka mereka telah menanggung kejahatan tuduhan palsu (buhtaan)  dan dosa yang sangat nyata”._

Surah al-Ahzab ayat 58.

17. Berkata seorang tokoh ulamak terkenal, Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid

_”sesungguhnya sangkaan jahat dan kegopohan menuduh telah menakutkan ramai yang tidak berdosa dan menzalimi ramai manusia.  Menjadi sebab orang yang soleh diketepikan tanpa sebab yang syarie. Membangkitkan permusuhan dan siri-siri kezaliman daripada golongan yang jahil yang menyebarkan berita, sangkaan penuh dosa, umpatan yang jahat dan tuduhan palsu. Sesungguhnya tuduhan kepada orang yang tidak bersalah dengan tuduhan palsu, hanya berupa sangkaan dan telahan dan tuduhan terhadap orang Islam melakukan sesuatu yang tidak dilakukan, kesudahannya sangat buruk di dunia dan di akhirat.”_

rujuk https://almunajjid.com/8087

18. Suka juga disebut bahawa pegawai SPRM berkenaan menganggap pembangkang sebagai “bodoh” apabila memfokuskan pada 1MDB yang tiada bukti yang kukuh (kerana tiada penyiasatan terperinci) sedangkan bukti yang boleh disiasat menurut penyiasatan mereka adalah melibatkan SRC. Itu pandangan beliau.

19. YB Rafizi juga sangat kuat berbohong apabila menuduh PAS tidak pernah berbicara tentnag 1MDB. Sedang PAS konsistan berbicara tentang isu 1MDB sejak dahulu berasaskan kepada beberapa prinsip antaranya prinsip kerajaan berniaga, perniagaan bermodalkan hutang, hutang dijamin kerajaan melibatkan dana awam dan hutang berasaskan riba.  Semua prinsip ini adalah asas kepada penolakan PAS terhadap 1MDB bukan hanya fokus kepada kegagalan bisnes 1MDB.

20. Saya rasa YB Rafizi perlu fokus pada tuduhan oleh Chegu Bard yang telah tersebar bahawa beliau dan PKR menerima wang daripada John Soh yang terlibat dengan pelbagai skandal salah laku kewangan sehingga merengkok di dalam penjara di Singapura sekarang.

Sekian.

No comments

Powered by Blogger.