Aman Central mohon maaf





ROSLINDA HASHIM

24 Mei 2017

Gambar persembahan mencolok mata yang tular di laman Facebook.

ALOR SETAR - Beberapa gambar persembahan bertemakan Sayap Emas & Gelombang Sahara yang memeriahkan majlis pelancaran Raya Eleganza Jumaat lalu, di Aman Central dikecam banyak apabila tular di media sosial.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah itu dikecam netizen yang menyifatkan gerak tarian dan pakaian tidak bersesuaian dengan norma masyarakat Melayu.

Beberapa pemilik Facebook berkongsi gambar yang disifatkan mencolok mata, menyatakan tidak puas hati dengan pemakaian penari dan jenis tarian disajikan, memandangkan ia tidak bertepatan dengan tema Ramadan mahupun Aidilfitri.

Beberapa penari wanita dikatakan memakai pakaian mendedahkan bahagian pusat termasuk pakaian ala coli, yang tidak sesuai dipertonton secara terbuka.

Insiden itu menyebabkan Ahmad Bashah turut menjadi mangsa kecaman netizen kerana membenarkan persembahan seksi diadakan secara terbuka di khalayak ramai.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Wendy Wong berkata, acara yang bermula sekitar 6.30 petang itu dianjurkan sepenuhnya oleh pengurusan Aman Central dan menjemput Ahmad Bashah sebagai tetamu kehormat.

“Sewaktu pelancaran, kami menyediakan beberapa persembahan seiring dengan konsep dekorasi kami termasuklah persembahan 'Sayap Emas & Gelombang Sahara’, serta persembahan api eksotik bagi mewujudkan suasana sebenar resort mewah Mediterranean,” katanya.

Menurutnya, penari berkenaan dibawakan khas daripada kumpulan sarkas Rusia, di mana mereka mengenakan stokin berwarna coklat muda seakan warna kulit bagi menutup bahagian badan yang terdedah.

“Saya difahamkan, fabrik itu terlalu cerah dan nipis menampakkan bayangan seolah mereka tidak mengenakan pakaian. Kami kesal kerana ada pihak mengambil kesempatan memviralkan perkara ini,” katanya.

Wendy berkata, pengurusan Aman Central memohon maaf terutama terhadap Ahmad Bashah atas insiden terbabit.

“Pihak pengurusan akan meneliti dengan lebih terperinci garis panduan persembahan terutamanya apabila menerima kunjungan mana-mana tetamu kehormat pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, sepanjang acara itu, turut disediakan kepada penonton persembahan lain termasuklah tarian tradisional Saloma, bengkel mencanting batik, bengkel pembuatan Tarbus dan Lentera serta pelbagai aktiviti lain bagi memeriahkan acara membeli belah sepanjang bulan Ramadan.

No comments

Powered by Blogger.