Haramkan pesta gay - TPM



Haramkan pesta gay - TPM

Daripada Badrul Hizar Ab Jabar

bhizar@bh.com.my


MANILA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengharamkan sebuah acara gay, yang dikatakan akan diadakan di ibu kota, 30 September depan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sudah menerima laporan daripada Bukit Aman berhubung penganjuran acara dikenali sebagai 'White Party', yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.

"Setakat ini, tiada permohonan permit untuk menganjurkan acara berkenaan diterima oleh polis.

"Jika diadakan, maka itu adalah perhimpunan haram dan saya tak fikir pihak polis akan memberikan kebenaran kerana ia tidak termasuk dalam Akta Perhimpunan Aman," katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Conrad Manila, hari ini.

Semalam, sebuah laman portal melaporkan, acara gay berkenaan dianjurkan sebagai 'pemanas badan' menjelang 'White Party Bangkok' di Thailand yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 Disember depan.

White Party Bangkok mendakwa acaranya sebagai festival gay tahunan terbesar di Asia, yang berlangsung di ibu negara Thailand menjelang tahun baharu.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, supaya tidak memberikan visa atau kebenaran kepada rakyat asing yang akan menghadiri acara itu.

"Kita sedang meneliti nama-nama individu yang terbabit dan meletakkan mereka dalam kategori 'not to let'.

"Kerajaan juga amat prihatin terhadap semua laporan polis yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik terhadap penganjuran acara ini.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, polis dan Jabatan Imigresen diarah memantau perkara berkenaan secara terperinci supaya ia (White Party) tidak dianjurkan di negara ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.