Seorang pelajar ditahan bantu siasatan



Anggota polis mengiringi pelajar (kiri) yang menghilangkan diri sebelum berlaku kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. NSTP/ROSDAN WAHID (TOLONG BLURKAN MUKA OKT DAN ANGGOTA)

Kalidevi Mogan Kumarappa dan Norizuan Shamsuddin dan Mazizul Dani

am@hmetro.com.my


SEORANG pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifiqayah yang menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sumber berkata, remaja berkenaan dibawa ke lokasi kejadian hari ini untuk proses mengumpul bukti.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati remaja berjaket hitam itu dibawa dalam keadaan tidak bergari sebaliknya diiringi dua pegawai polis dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Selain memeriksa petunjuk terbaru iaitu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tumpuan siasatan polis adalah pagar di bahagian tepi dan belakang pusat tahfiz.

Pagar kawat yang memisahkan bahagian belakang pusat tahfiz dan Taman Tasik Datuk Keramat, ini didapati mempunyai kesan potong serta sudah diregangkan.

Sumber berkata, polis yang menjalankan siasatan sedang berusaha mengumpulkan segala maklumat bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.

"Sejak pagi semalam, beberapa pegawai dan anggota meninjau keadaan pagar kawat yang dipercayai boleh menjadi laluan keluar dan masuk oleh penceroboh ke dalam pusat tahfiz ini.

"Malah, faktor pelajar cuba menyelinap keluar pada waktu malam dan awal pagi juga turut diambil kira sebagai membantu melengkapkan siasatan," katanya.

Katanya, segala bentuk siasatan kes berkenaan akan turut dirujuk berdasarkan hasil siasatan Unit Forensik Polis dan Bomba.

Difahamkan pada masa ini semua bentuk siasatan diambil kira selepas wujudnya pelbagai persoalan berhubung punca kejadian yang berlaku selepas pihak polis menafikan punca kebakaran adalah masalah litar pintas.

Orang ramai yang mengunjungi pusat rekreasi Taman Tasik Datuk Keramat juga turut menghampiri pagar berkenaan dengan harapan ingin mendapatkan kepastian adakah benar berlakunya pencerobohan.

No comments

Powered by Blogger.