CUBAAN UMNO MENGUASAI 'PASARAN' POLITIK ISLAM

Berdasarkan latar belakang ideologi yang didokong oleh sesebuah parti politik, kita dapat mengenali identiti dan pembawakannya. UMNO merupakan parti politik sekular yang turut menjadikan semangat kebangsaan Melayu sebagai penggerak perjuangannya. Namun ia dilihat kian ketinggalan dari aspirasi yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

⚫ Kunci Dominasi Politik Malaysia.

Walaupun Malaysia merupakan negara yang mempunyai rakyat dari pelbagai kaum dan agama, ia masih lagi bergantung dengan dua faktor dominasi kuasa politik:

• Islam
• Melayu

Walaupun cuba disangkal, inilah realiti penguasaan politik di Malaysia. Dari dua faktor tersebut, mendedahkan pengaruh signifikan yang dimiliki oleh UMNO dan PAS. UMNO dengan dasar sekular bersemangat kebangsaan menguasai bangsa Melayu. Sementara PAS dengan dasar Islam, memiliki daya tarikan bagi pengundi-pengundi dari kalangan muslim mahupun simpatis kepada Islam.

⚫ Senario.

Dalam kertas kajian 'Deconstructing Political Islam In Malaysia: UMNO'S Response To Pas'  pada 2003 di bawah kelolaan Institute of Defence & Strategic Studies, Singapore (IDSS), menganalisa realiti kedudukan UMNO.

UMNO bergelut dengan arus Islam yang sedang diterajui oleh PAS. Cabaran tersebut bukan baharu. Bahkan UMNO telah melakukan beberapa percubaan. Mereka mewujudkan imej-imej klon yang dilihat agak Islamik agar pengundi beraspirasikan Islam beralih dari PAS pergi kepada UMNO.

Sebagai contoh, UMNO pernah menggunakan Anwar Ibrahim ketika kemasukannya ke dalam UMNO pada 1982. Ketika itu PAS terpaksa bergelut dengan imej Islamik yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim.

Islam Hadhari juga merupakan produk berkesan UMNO di bawah kepimpinan Tun Abdullah ketika menyaingi kempen Islam yang dibawa oleh PAS. Walaupun berdepan dengan kritikan yang pelbagai, melalui Islam Hadhari UMNO meraih kemenangan besar dalam PRU 11 tahun 2004.

⚫ Islam Tersangat Laris.

Perubahan zaman hari ini menyaksikan perkembangan global yang amat mengujakan. Islam menjadi perhatian dunia. Umat Islam walau sejahil mana pun mula terbuka mata betapa mereka perlu kembali kepada Islam. Bahkan kuasa Barat awal-awal telah menghidu corak perkembangan ini sejurus selepas kejatuhan Soviet Union. Melalui gagasan yang dikemukakan oleh Huntington, mereka percaya bahawa Islam merupakan pencabar utama mereka.

Begitu juga halnya di Malaysia hari ini. Perkembangan dakwah Islam tidak dapat disangkal lagi. Rakyat amat teruja dengan Islam. Antaranya masjid mulai aktif dan penuh. Sekolah-sekolah agama tumbuh persis cendawan.

Sesiapa yang berjaya mempamerkan produk-produk Islam, maka mereka akan mendapat tempat di kalangan masyarakat. UMNO pantas mengintai potensi yang dimiliki oleh PAS.

⚫ Islamisasi Versi UMNO.

Dalam kertas kajian IDSS yang telah disebutkan di atas, mendedahkan tabiat berpolitik UMNO yang cukup berbeza dengan PAS. Sesuai dengan dasar sekular, UMNO lebih menjuruskan politiknya dengan daya tarikan material. Janji-janji yang merambangkan mata.

Sementara PAS lebih mengutamakan diskusi ideologi. Walaupun imej PAS dilihat agak fundamentalis, namun budaya intelektual tersebut berjaya menarik rakyat khususnya generasi baharu yang sedang dahagakan perubahan Islami.

Lantas sedikit demi sedikit, UMNO tidak mahu ketinggalan turut dilihat mula 'berunding' dengan proses Islamisasi yang menjadi tuntutan rakyat. Untuk menjalankan tugas ini, imej semulajadi Najib yang bangsawan tidak sesuai untuk diperanankan.

Namun sedar atau pun tidak di bawah pentadbiran Najib, sudah ada menteri-menteri UMNO yang membawa imej Islam. Mereka boleh menjadi imam dengan baik. Mampu berkhutbah tanpa teks. Berceramah penuh semangat memetik nas-nas agama persis penceramah-penceramah PAS. Di kalangan mereka mengadakan majlis-majlis qasidah.

Rancangan-rancangan hiburan di kaca televisyen di selang-seli dengan slot-slot agama. Program realiti agama diperkenalkan. Bahkan dibangunkan stesen televisyen seperti al-Hijrah yang berimejkan dakwah.

Slot indoktrinasi kerajaan disajikan dengan tajuk Fiqh Wala' & Taat. Anggota-anggota pemimpin dan ahli UMNO mula diperkenalkan sesi usrah. Mereka sama sekali tidak akan mengakui bahawa mereka adalah sekular. Mereka turut menunjukkan rasa selesa dengan tajuk Hudud dan Qisas yang selama ini menjadi igauan ngeri UMNO.

Kesemua ini merupakan pembawakan-pembawakan yang asalnya sinonim dengan PAS. Demikian hanyalah beberapa contoh yang boleh dilihat secara jelas di hadapan mata.

⚫ Sikap Kita.

Melihat perkembangan ini, kita perlu melihat kepada beberapa sudut.

• Optimis bahawa dakwah yang dijalankan oleh PAS sekian lama telah menampakkan hasil.

• Kita juga perlu sedar, bahawa kita sedang bergelut dalam medan politik. Kita tidak boleh menolak sikap pragmatik yang ada pada parti sekular seperti UMNO. Cubaan untuk menguasai pengaruh politik Islam yang didominasi oleh PAS selama ini merupakan satu sudut yang perlu diberi perhatian.

• Menyedari bahawa dasar, slogan, hujah serta pembawakan Islam amat laris pada hari ini. Hinggakan parti sekular terpaksa menurut rentak rakyat yang menuntut perubahan secara Islam. Justeru kita perlu yakin, rakyat mahukan Islam. Kita perlu cukup sedar bahawa potensi tersebut ada pada PAS.

⚫ Kesimpulan.

Realitinya politik di Malaysia masih bergantung dengan dua faktor dominasi kuasa. Islam dan Melayu. Dalam persaingan ini, kita selaku PAS sememangnya menguasai 'pasaran' politik Islam di Malaysia. Tinggal lagi kita perlu meraih kepercayaan di kalangan orang Melayu yang kecewa dengan kebobrokan UMNO. Sementara itu UMNO tidak berdiam diri. Mereka turut menawarkan imej-imej klon yang kelihatan Islam seperti yang ditawarkan oleh PAS.

Kita perlu sedar akan persaingan ini.

Abdul Mu'izz Muhammad
9 April 2018.

No comments

Powered by Blogger.