KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIAMELAKA MEMILIH: MESEJ JELAS UNTUK SEMUA PARTI POLITIK

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

MELAKA MEMILIH: MESEJ JELAS UNTUK SEMUA PARTI POLITIK

21 November 2021 | 16 Rabiulakhir 1443 H

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik perkembangan positif dalam keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka semalam. Keputusan tersebut membawa berbagai mesej yang harus diambil cakna oleh semua pihak.

2. Melalui keputusan ini, PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan sebagai pasukan yang dilihat 'underdog'. Walaupun telahan awal menjangkakan PN akan 'bungkus' di semua kerusi, ternyata PN berjaya merampas 2 kerusi DUN yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu. 

3. PAS juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi. Ini merupakan petanda awal kemampuan PAS dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti.

4. Keputusan PRN juga menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat Melaka kepada Pakatan Harapan (PH), apabila mereka tewas hampir semua kerusi yang pernah dimenangi kecuali di kawasan majoriti bukan Melayu yang ditandingi DAP, dan di Bukit Katil. Ini petanda jelas penolakan rakyat terhadap politik fitnah, kebencian dan sentimen yang disemai PH, serta ketidakpercayaan rakyat terhadap janji-janji palsu mereka. 

5. Ternyata parti-parti komponen PH tidak ada nilai, selain bergantung harap pada DAP. Kempen-kempen DAP yang memburukkan PAS dan PN dengan isu polisi judi dan arak di negeri Kedah yang majoritinya Melayu Islam, digunakan untuk menakutkan pengundi bukan Melayu sehingga mereka berjaya memperoleh undi. Namun kesannya, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara ditolak majoriti masyarakat Melayu di kerusi ditandingi mereka. Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur.

6. Pemuda PAS merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih buat semua jentera PAS dan PN yang bertungkus-lumus menjunjung keputusan pimpinan parti, berkhidmat dan mewakafkan diri di medan juang tanpa sebarang ganjaran. Sekalung tahniah diucapkan kepada BN atas kejayaan menubuhkan kerajaan dengan mandat majoriti rakyat. Semoga negeri Melaka akan terus maju dan stabil, bebas dari penyelewangan dan dilindungi dari sebarang konflik yang memberi mudarat buat negeri ini dan negara Malaysia yang tercinta.

YB Ahmad Fadhli Shaari,
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia,
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dewan Pemuda PAS Malaysia - DPPM

No comments

Powered by Blogger.