LANGKAH KECIL KEBANGGAAN KITA SEMUA
LANGKAH KECIL KEBANGGAAN KITA SEMUA
Roslan SMS
Ianya cuma satu inisiatif kecil dalam pentas antarabangsa yang bersifat global. Tetapi tindakan beraninya ternyata telah mengundang reaksi yang hangat kerana ia jarang-jarang berlaku.
Di pentas antarabangsa tidak ada satu bahasa khusus yang diterima, siapa sahaja berhak berucap dalam bahasa pilihannya. Diperingkat PBB 6 bahasa rasmi adalah English, Mandarin, Arab, Perancis, Rusia dan Sepanyol.
Namun diperingkat PBB bahasa ibunda lain boleh sahaja digunakan dengan syarat perwakilan perlu sediakan terjemahan atau penterjemah.
Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland baru-baru ini rata-rata mendapat reaksi posif rakyat kita.
Pengerusi DBP yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamaddun Melayu UKM Prof Datuk Seri Dr Awang Seriyan umpamanya telah mengucap syabas dan tahniah kepada Dato Sri Tuan Ibrahim dan menganggap ucapan beliau yang mengangkat bahasa Kebangsaan itu selaras dengan semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara.
Kita punya identiti dan budaya tamadun sendiri, siapa lagi jika tidak kita yang berbangga dengan bahasa Kebangsaan sendiri dan menyebarkannya pula kepada dunia.
Laman Harian Metro bukan sekadar bersetuju dengan tindakan Menteri berkenaan malah melaporkan:
"Malah, beliau (Dato Sri Tuan Ibrahim) turut menyelitkan ayat al-Quran yang bermaksud 'berlaku kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan tangan-tangan manusia' sebagai pemula bicara."
Sebagai sesuatu yang cukup significant.
Metro turut melaporkan tinjauannya di media sosial mendapati inisiatif, tindakan dan keberanian pemimpin berkenaan turut mendapat pujian warganet.
Saya percaya Dato Sri Tuan Ibrahim boleh sahaja membaca teks berbahasa Inggeris atau lebih berani macam seorang bekas Menteri dahulu dalam keghairannya sanggup menggunakan bahas Inggeris "pasar" atau "broken" sehingga menjadi bahan senda gurau dunia. Tetapi wajarkah?
Yang penting mesej dan suara negara mahu dilontarkan ke dunia dengan seberapa baik dan berkesan. Penggunaan bahasa Kebangsaan serta menyelitkan pula dengan ayat suci Al Quran sesungguhnya telah berjaya mengenengahkan suara dan sikap Malaysia itu.
Ianya satu inisiatif kecil namun terbukti ianya cukup membanggakan kita semua dan wajar dicontohi. Tahniah Dato Sri.
No comments
Post a Comment