SPRM rampas komputer, dokumen dalam serbuan terhadap pejabat NFC

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) merampas dokumen dan satu unit CPU komputer dalam serbuan di ibu pejabat Pusat Fidlot Nasional, National Feedlot Corporation (NFC) di Solaris Mont Kiara hari ini yang dikaitkan dengan penyelewengan dana kerajaan untuk projek ternakan lembu berkenaan.

Menurut Wan Abdul Rahman, pihaknya telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja NFC dan mereka telah memberikan kerjasama yang baik.

“Kami telah mengambil keterangan daripada pekerja di syarikat ini (NFC) dan mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya yang juga merupakan ketua siasatan untuk NFC.

Dalam serbuan tersebut, SPRM telah merampas satu unit CPU dan empat sampul surat putih berisi dokumen penting yang berkaitan dengan siasatan skandal NFC.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dokumen yang dirampas pihaknya.

NFC merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pusat ternakan lembu NFC yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan.

Skandal NFC tercetus apabila Laporan Tahunan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan dalam dana kerajaan sejumlah RM250 juta berhubung projek berkenaan.

Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil (gambar), turut dikaitkan dengan skandal tersebut.

Serbuan hari ini dikaitkan dengan pengumuman SPRM semalam bahawa pihaknya akan menyiasat kes penyelewengan dana kerajaan oleh NFC, bertentangan dengan kenyataan badan tersebut sebelum ini yang menyerahkan siasatan kepada pihak polis atas dakwaan terdapat kes pecah amanah.

SPRM turut mengesahkan pihaknya telah menahan reman seorang individu berpangkat “Datuk” semalam untuk disoal siasat berkaitan skandal tersebut.

Pakatan Rakyat telah menggunakan isu ini dan pemimpinnya menuntut Shahrizat untuk meletak jawatan atas penyelewengan yang berlaku.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menggesa Shahrizat mepaskan jawatan sebagai menteri dan Ketua Wanita Umno demi menjaga nama baik wanita ketika Kongres PKR di Johor bulan lalu.

Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin daripada Umno termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar dan beberapa ketua cawangan Umno turut membuat gesaan yang sama terhadap Shahrizat demi menjaga nama baik parti.

No comments

Powered by Blogger.