Perlukah semua badan profesional ikut telunjuk Umno BN?

May 18 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 18 Mei: Anggota Peguam Hak Asasi (LFL), Edmund Bon membidas Umno BN yang mahu semua badan profesional di negara ini mengikut telunjuk mereka.

Beliau berkata, sekiranya sesebuah badan profesional tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan, pelbagai kritikan dan tekanan dikenakan.

"Adakah kita tidak boleh bergerak bebas? Adakah kalau pertubuhan-pertubuhan ini tidak bersetuju dengan kerajaan bermakna mereka sebahagian daripada Pembangkang?" soalnya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Beliau mengulas cadangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk membentuk badan peguam alternatif selepas kerajaan mendapati Majlis Peguam tidak memihak kepada mereka dalam banyak situasi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut melabelkan badan profesional yang dinaungi lebih 12,000 ahli itu sebagai parti politik.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Peguam meluluskan usul tergempar mengutuk keganasan polis sewaktu mengendali Himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Seramai 1,270 ahli hadir ke Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), dengan 939 menyokong dan hanya 16 menolaknya.

Mengulas perkara itu, Edmund berkata, ini bukan pertama kali kerajaan mengugut mahu menubuhkan badan peguam alternatif apabila mendapati Majlis Peguam tidak memihak kepada mereka.

Ia bermula seawal 1988, ketika Majlis Peguam membantah pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas selepas berlaku krisis perlembagaan.

"Mereka tidak bersetuju dengan pelantikan Tun Abdul Hamid Omar, sebagai Ketua Hakim Negara. Zaid Ibrahim yang bertugas sebagai peguam ketika itu telah menubuhkan Syariah Law Association sebagai badan alternatif," katanya.

Menurut Edmund, sebagai badan memperjuangkan hak asasi manusia, ia harus bebas dan tidak terikat sama ada kerajaan mahu pun parti politik.

"Sekiranya mendapati ada tindakan melampaui batas hak asasi manusia, kita akan kritik tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang. Kita mengikut garis panduan dalam memperjuangkan hak asasi manusia," tegas Edmund.

No comments

Powered by Blogger.