Yusof 'kembali ke pangkal jalan' - Dr Mohd Nor


May 22 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Mohd Nor Manuty menyifatkan bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden telah 'kembali ke pangkal jalan' apabila mengetuai kumpulan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes perbicaraan Bersih 3.0.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Yusof berjuang bersama-sama Ketua Pembangkang itu untuk menegakkan perkara yang benar dan menolak perkara batil.

"Saya yakin penyertaan Yusof atas kerelaan beliau sendiri, bukan atas paksaan daripada mana- mana pihak. Beliau hadir bagi menuntut keadilan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Yusof merupakan ketua pasukan pendakwa dalam kes Fitnah II terhadap Anwar sebelum ini.

Beliau meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes Fitnah II selepas menyaksikan Anwar bebas daripada sebarang sabitan.

Kali ini beliau bersama peguam kanan, Karpal Singh dalam pasukan peguambela Anwar dalam perbicaraan tuduhan menyertai Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Yusof memutuskan untuk menyertai Anwar setelah menerima tawaran melalui panggilan talifon daripada Anwar.

Anwar dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.

Selain beliau, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin turut dituduh di bawah akta yang sama.

Mohd Nor berkata, Yusof yang mempunyai pengalaman luas sebagai pendakwaraya dalam kes- kes berprofil tinggi sebelum ini bakal membuka mata rakyat mengenai perjalanan kehakiman negara ini.

"Kontradiksi akan berlaku apabila beliau kali ini menyertai pasukan Pembangkang dan ia bakal membuka mata semua rakyat Malaysia. Keadilan pasti akan terjamin," katanya.

No comments

Powered by Blogger.