Dr Rani : Perlu Menang Hati Melayu Selangor Utara

KLANG, 20 JUN: Pakatan Rakyat perlu memberikan tumpuan untuk meningkatkan undi masyarakat Melayu sekiranya ingin mempertahankan kuasa di Selangor dan menakluki Putrajaya.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Othman berkata, kawasan utara Selangor yang mempunyai majoriti Melayu yang tinggi perlu diberi perhatian kerana pengundi Melayu menjadi penentu kepada kemenangan Pakatan.

“Fokus kita adalah untuk meraih undi masyarakat Melayu. Kita bukan tidak mmberikan tumpuan kepada kaum lain tetapi di kawasan bandar tidak menjadi masalah kerana mempunyai capaian maklumat yang baik.

“Sabak Bernam dan Tanjong Karang mempunyai majoriti Melayu. Orang Melayu sebenarnya yang akan menentukan calon-calon Pas khususnya,” katanya di satu temuramah program Fokus Isu terbitan TV Selangor.

Tambah beliau, ‘calon boleh menang’ akan diketengahkan untuk pilihanraya kali ini dengan syarat mereka disenangi oleh masyarakat setempat dan melakukan gerak kerja di peringkat bawah.

Abdul Rani yang juga ADUN Meru menegaskan, tidak ada sebarang jaminan untuk mana-mana ahli menjadi calon di kerusi yang dipertandingkan meskipun mempunyai jawatan di dalam parti sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

Pas yang bertanding 20 kerusi Dun Selangor akan menamakan tiga calon untuk setiap kawasan dan keputusan calon ditentukan diperingkat Pusat.

Untuk PRU-13, Pas mensasarkan kemenangan di 16 kerusi yang ditandingi.

Sehingga kini, Pas Selangor merupakan negeri terawal yang memuktamadkan senarai calon.

Menurutnya lagi, gerak kerja penerangan perlu dipertingkatkan terutamanya cetakan akhbar SelangorKini yang semakin mendapat sambutan rakyat ekoran batasan penyiaran maklumat berkaitan Pakatan Rakyat di media arus perdana.

Bagi pihak DUN Meru, akhbar SelangorKini dihantar ke setiap rumah selain menerbitkan Buletin Meru setiap dua bulan sekali bagi memaparkan semua aktiviti ADUN bersama masyarakat.

No comments

Powered by Blogger.