Krisis ekonomi di Pulau Pinang jika pelabuhan negeri diswastakan


KUALA LUMPUR, 19 JUN: Pulau Pinang akan mengalami krisis ekonomi jika Pelabuhan Pulau Pinang diswastakan kepada Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang mungkin melakukan langkah-langkah yang bakal menjejaskan kepentingan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Syed Mokhtar sebagai pemilik Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. mungkin meminta harga akhir Pelabuhan Pulau Pinang untuk dikurangkan daripada RM450 juta kepada RM150 juta sebagai usaha untuk tidak melakukan kerja-kerja pendalaman yang memakan belanja RM353 juta.

Katanya, Seaport Terminal Johor akan membawa tujuh unit kren dari Super Port Panamax Pulau Pinang ke PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) manakala enam kren dermaga dari Pelabuhan Johor akan ditempatkan di Pulau Pinang.

“Pada asasnya, Seaport Terminal dilihat cuba mengecilkan asset mereka (asset stripping) dan kren yang lebih kecil pula tidak mampu untuk mengendalikan 4000 TEU dan digunakan di atas kapal. Akhirnya Seaport Terminal kemungkinan tidak akan mendalamkan pelabuhan Pulau Pinang,” kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula menjelaskan bahawa kerja-kerja pendalaman Pelabuhan Pulau Pinang yang menelan belanja RM353 juta telah tergendala setelah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilantik oleh kerajaan persekutuan Barisan Nasional untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang pada November 2010.

Katanya, bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat telah mendedahkan bahawa rancangan penswastaan pelabuhan tersebut oleh Syed Mokhtar turut dipromosikan sendiri oleh Chua.

“Pada April 2010, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mencadangkan kerja-kerja pendalaman dijalankan melalui pelan perluasan dan penambahbaikan perniagaan PPSB 2008 hingga 2012 dengan peruntukan sejumlah RM1.1 billion pelaburan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara NCER.

“Walau bagaimana pun kerja-kerja pendalaman ini tidak dijalankan seperti dalam rancangan,” ujar Chow yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau juga mengalu-alukan pendirian Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang kini
mahu kerajaan persekutuan mengkaji semula cadangan menswastakan pelabuhan tersebut.

“Kami menyeru Teng Chang Yeow agar tidak berbelah bagi menyertai kempen ‘Kembalikan Pelabuhan kepada Pulau Pinang’ yang dianjurkan oleh DAP.

“Kami juga mahu Teng mendesak kerajaan persekutuan untuk menjalankan kerja-kerja pendalaman Pelabuhan Pulau Pinang dengan segera, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini,” katanya.

Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, kuasa untuk menghentikan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.