PKR mahu dedah pula 'skandal' projek tambahan LRT Ampang

PKR akan melakukan pendedahan setiap dua hari bermula hari ini mengenai apa yang didakwanya skandal pemberian kontrak pembinaan projek tambahan sistem LRT Ampang yang bernilai RM960 juta.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (kanan) berkata projek tersebut yang didakwa dianugerahkan kepada syarikat yang tidak terpilih melalui proses tender terbuka, telah menjejaskan janji pentadbiran Najib untuk membanteras rasuah.

Berikutan itu, tegasnya, PKR akan membuat pendedahan setiap dua hari mengenai skandal tersebut yang bakal menguji komitmen Najib kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

Katanya, pendedahan tersebut adalah juga balasan daripadanya ekoran kerana tindakan Umno memutarbelitkan keputusannya untuk menarik diri dari Kerajaan Selangor sebagai petanda wujud keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu yang ditunjangi PKR.

Sebaliknya, kata Rafizi, beliau mengambil tindakan tersebut untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihan raya PKR.

"Saya menasihati Datuk Seri Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi adalah individu yang memainkan peranan penting dalam mendedahkan dakwaan penyalahgunaan pinjaman mudah RM250 juta oleh NFC milik anggota keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat tidak dilantik semula sebagai Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, manakala suaminya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa terhadap tuduhan pecah amanah jenayah berhubung pinjaman mudah RM250 juta kerajaan kepada NFC.

Berikutan ini,Najib mengambil alih kementerian berkenaan dan tidak melantik anggota parlimen wanita untuk portfolio tersebut.

No comments

Powered by Blogger.