Isu Kalimah Allah: Sekali Lagi!
Timbul kembali isu kalimah Allah yang jelas menunjukkan sangat yang UMNO/BN sudah ketandusan isu. Di Kelantan oleh kerana tiada isu maka salon rambut dan bukan Islam berkhalwat pun jadilah. Yang pelik, pihak yang bising MCA tetapi selepas itu dikatakan PAS tunduk pada DAP! UMNO pula langsung tidak kedengaran, mendiamkan diri. Diam seribu bahasa. Jelas siapa kelihatan tunduk pada siapa! Biasanya yang tunduk itu mendiamkan diri.
Dalam isu kalimah Allah pendirian PAS adalah jelas. Saya telah jelaskan dengan panjang lebar sebelum ini dalam tulisan saya yang bertajuk Ismu Allah pada Mac 2009 dan disiar ulang pada Januari 2010. Sepertimana yang telah saya nyatakan, soal penggunanaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak merupakan masalah. Ini adalah kerana ianya digunakan masyarakat Jahilliyah sebelum lahirnya Rasulullah (SAW)! Buktinya, nama ayah Rasulullah adalah Abdullah dan beliau meninggal sebelum Rasulullah dilahirkan! Ini bererti kalimah Allah seperti yang terdapat dalam nama ‘Abdullah’ sememangnya digunakan sebelum datangnya Rasulullah (SAW).
Kalimah Allah adalah kalimah bahasa Arab. Datangnya dari perkataan ‘Al-ilah’ yang diringkaskan menjadi ‘Allah’. Perkataan ‘ilah’ pula ertinya sesuatu yang disembah dan didewa-dewakan. Ia meliputi berhala ciptaan manusia seperti Latta dan Uzza sembahan masyarakat Jahiliyyah dan juga nafsu yang didewa-dewakan manusia sehingga dijadikan ‘ilah’ mereka.
Dengan diletakkan huruf ‘Alif’ dan ‘Laam’ maka ianya menjadi nama khas yang bermaksud Tuhan pencipta dan pemilik alam. Yang disembah selain Allah seperti Latta dan Uzza tersebut tidak dianggap sebagai pencipta dan pemilik alam. Begitu juga dengan nafsu. Namun perkara ini disembah dalam erti kata ianya didewa-dewakan dan diberikan sanjungan dan kepatuhan. Itu yang ditolak Islam melalui kalimah “La ilaha illaLlah” atau “tiada yang disembah atau didewa-dewakan selain Allah (iaitu Tuhan pencipta dan pemilik alam)”.
Maka masyarakat Jahilliyyah menggunakan kalimah ‘Allah’ apabila memaksudkan Tuhan pencipta dan pemilik alam tetapi digunakan ‘ilah’ pula bagi dewa-dewa yang disembah sebagai pengantaraan di antara manusia dan Allah. Penggunaan sebegini juga diamalkan oleh orang Yahudi dan Nasara yang berbahasa Arab. Ini jelas terbukti apabila dibaca ayat-ayat Al-Quran seperti ayat 30 surah At-Taubah yang bermaksud, “Berkata orang Yahudi Uzair anak Allah dan berkata orang Nasara Al-Masih anak Allah..” Ayat-ayat Al-Quran sebegini jelas membuktikan bahawa kalimah ‘Allah’ digunakan masyarakat Arab samada musyrikin, Yahudi atau Nasara untuk memaksudkan Tuhan pencipta dan pemilik alam.
BIBLE BAHASA MELAYU
Dalam soal Bible terjemahan Bahasa Melayu, PAS berpendirian bahawa perkataan Tuhan adalah lebih tepat. Ini bukan kerana perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh masyarakat bukan Islam tetapi kerana perkataan ‘Allah’ adalah perkataan Arab. Sedangkan terjemahan yang diinginkan adalah terjemahan Bahasa Melayu. Tuhan adalah perkataan Melayu yang sesuai dan tepat sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’.
Oleh itu, pendirian PAS adalah konsisten sejak dari awal lagi apabila isu ini ditimbulkan pada tahun 2009. Ianya persoalan yang dibahas secara ilmiah oleh PAS dan bukan merupakan pendirian yang dibuat atas sebab kepentingan politik atau emosi.
PENDIRIAN MAJLIS FATWA KEBANGSAAN
Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa agama lain tidak dibenarkan mengguna kalimah ‘Allah’ kerana dikhuatiri ianya akan menimbulkan kekeliruan. Saya hormati pendirian ini dan memahami bahawa ianya adalah pandangan yang terhasil dari kekhuatiran terhadap kemungkinan akan timbul kekeliruan di kalangan ummat Islam sekiranya agama lain menggunakan juga kalimah tersebut.
Namun pada hakikatnya, perbezaan di antara agama Islam dan agama lain adalah perbezaan dalam konsep ketuhanan itu sendiri bukan kalimah yang digunakan! Dalam erti-kata lain, perbezaan bukan terdapat pada kalimah berbeza. Sebagai contoh, tidak kurang salahnya, dari pandangan Islam, apabila dikatakan “Isa anak Allah” atau “Isa anak Tuhan”. Ini adalah kerana Allah itu Tuhan dan Tuhan itu Allah bagi ummat Islam. Bagaimana yang pertama boleh dianggap mengelirukan dan yang kedua tidak? Untuk mengelak kekeliruan, adakah selepas ‘Tuhan’ digunakan bukan Islam maka orang Islam tidak akan lagi menggunakan perkataan ‘Tuhan’?
Akhirnya kita kena akui bahawa kekeliruan hanya mampu dielak dengan adanya ilmu. Dan inilah penyelesaian muktamad kepada kemelut yang diada-adakan, bukan dengan menghalang ini dan itu. Persoalan yang perlu dijawab oleh pemimpin Negara dan Agama ialah mengapa selepas 55 tahun Merdeka kefahaman ummat Islam tetap di tahap yang begitu rapuh sehingga mudah keliru dan terjejas hanya dengan mendengar kata-kata “Isa anak Allah”? Tidakkah mungkin mereka memahami itu kepercayaan agama Nasrani yang bercanggah dengan Islam?
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
No comments
Post a Comment