Berjiwa Besar Dr Rani Othman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru daripada PAS Dr Abdul Rani Othman yang sebelum ini berkata tidak ada halangan wanita menjadi menteri besar, meminta semua rakannya terus kekal dalam jemaah atau parti dan tidak membuat tindakan bersendirian.

"Apa terjadi pun biarlah kita mati dalam jemaah," kata Dr Rani ketika dua Adun PAS membuat keputusan lari daripada kelompok PAS dan menyertai PKR dan DAP menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Tindakan mereka diambil ketika PAS Pusat dijadualkan bermesyuarat Ahad ini bagi memutuskan pendiriannya berkenaan isu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hendak disingkirkan.

Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) bertindak menyertai sidang media Dr Wan Azizah hari ini, memberikan beliau sokongan majoriti dalam DUN Selangor iaitu 30 daripada 56 ahli.

Hasnul, Saari dan Dr Rani antara pemimpin PAS yang tidak menyertai mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang diadakan di Shah Alam semalam.

Dr Rani yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor sesi lalu berkata, ntara perkara pokok kenapa Rasulullah diutuskan ialah untuk melengkapkan akhlak manusia.

"Selain akhlak ketika makan dan bergurau senda, termasuk juga akhlak berjemaah dan bermesyuarat.

"Segala keputusan majoriti dalam mesyuarat hendaklah dituruti dan dipatuhi walaupun bercanggah dengan pendapat kita atau walau kita tidak hadir," katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti menjawab spekulasi Dr Rani juga akan menyertai mereka kerana dia tidak hadir mesyuarat.

"Saya doakan setiap dari ahli jemaah PAS di semua peringkat muhasabah setiap tindakan kita," katanya.

Sebelum ini, Adun Meru itu dilaporkan menafikan wakil rakyat PAS menolak calon wanita untuk menjadi menteri besar yang baharu, membayangkan beliau menyokong Dr Wan Azizah.

"Siapa kata PAS tidak mahu wanita jadi pemimpin? Kalau kita tidak mahu, kenapa kita letak (exco) Dr Halimah Ali dan (Ahli Parlimen Kota Raja) Dr Mariah Mahmud? Itu bukan masalah," katanya di Shah Alam, kelmarin.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli, khususnya Adun PAS di Selangor, mematuhi arahan parti dalam berdepan isu menteri besar di negeri itu.

Tuan Ibrahim berkata, PAS membuat keputusan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat PAS Pusat 17 Ogos ini.

"Kita harap tidak ada yang mendahului keputusan parti dan jangan pula ada yang membelakangi keputusan jemaah. Jangan anggap keputusan kita secara bersendirian itu lebih bijak daripada keputusan parti.

"Bertindak membelakangi keputusan jemaah ini tidak ada keberkatan dan jika berlaku masalah, parti tidak akan bertanggungjawab," katanya sebagaimana dilaporkan media PAS, Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu beliau menasihatkan seluruh ahli bersabar menunggu keputusan rasmi parti dan berkata:"Lebih baik diam daripada komentar yang mengeruhkan lagi keadaan."

1 comment

iRock said...

Ari tu MSU and tuang Presideng berkata khalid tak boleh ditukar kalau tak disabit dengan kesalahan. Jadi kena lah bawa pegi SPRM, MAKAMAH ATAU APA2 rumah dulu. Masa tu PKR dan DAP merayu sampai kat tengganu minta pas beri pendirian.......kini bila adun pas menyokong PR, nape TUANG PRESIDEN tak bawa pegi SPRM KE ATAU MAKAMAH KE DAN sabitkan mereka dengan kesalahan dulu.......nape rayu rayu lagi.......mereka dah nekat kalau dipecat sekalipun........PIMPINAN PAS cakap tak serupa bikin.......dan saya pun berpendapat PAS sudah hilang maruah sebagai Parti memperjuangkan Islam, kerana mereka menunjukan lebih assobiah dr ameno, terutamanya di tengganung kite........

Powered by Blogger.