DR MOHD ZUHDI INI..

Saya hubungi Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Saya mahu memberinya kekuatan.

Bukan saya ini kuat, tetapi ia sebahagian tugas seorang muslim membela saudara semuslimnya daripada dianiayai dan dibiarkan dihina oleh rakan-rakan sendiri yang curang.

Sebaliknya, bila saya hubunginya, dia pula yang memberikan saya kekuatan. Nampaknya, jelas sangatlah, dia telah pergi kepada Allah sebelum saya pergi kepadanya.

Sesiapa yang berjalan kepada Allah, Allah akan berlari kepadanya. Seperti kalam hikmah al Imam asy Syafi'ei yang sungguh mahal,

'Apabila engkau dapati tiada lagi manusia yang mahu membelamu, membiarkanmu berseorangan, maka ketahuilah, sesungguhnya Allah sendirilah yang mahu mengurus dan membelamu.'

Ada ulama mengatakan, ini antara hikmat kata al imam asy Syafi'ie yang terhebat!

Dan ia begitu menepati rakan saya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Kekuatan yang dimilikinya telah begitu mengatasi kekuatan yang saya usahakan dan bawakan untuknya. Sudah tentu ia daripada Allah yang datang kepadanya lebih awal setelah dia pergi kepadaNya lebih awal daripada saya kepadanya.

Fitnah itu sifatnya melampau dan kejam sekali. Ia datang untuk membunuh, bahkan seperti yang al Quran sendiri dendangkan, ia lebih dahsyat daripada membunuh!

Biasanya yang terfitnah akan rebah sebelum masanya untuk dia rebah.

Gegarannya terlalu kuat, menakutkan dan kejam sekali. Bahkan, seperti dendangan al Quran juga, apabila fitnah datang, ia bukan hanya bertumpu kepada mangsa asalnya itu, bahkan ia memalit dan menjangkau segala apa yang ada di hadapannya.

Apabila fitnah 'printscreen' oleh penjilat wikileaks dalaman PAS sendiri ditiupkan dengan begitu kencang dan tersebar dalam sekelip mata, Dr Mohd Zuhdi seperti jatuh ke dalam sebuah telaga yang gelap.

Semua mengira bahawa beliau adalah Almarhum Zuhdi.. mangsa telaga buta!

Rupa-rupanya ia bukan sebarang telaga. Di dalamnya ada sedikit ruang untuk mangsanya diam seketika. Dia kemudiannya adalah tetamu telaga itu.

Nabi Yusuf alaihissalam menjadi tetamu istimewa telaga buta untuk beberapa ketika, pada saat saudara-saudaranya sedang mencipta 'darah palsu' (damin kazib) untuk dipersembahkan kepada ayahanda mereka bahawa adinda kecil mereka itu telah menjadi mangsa serigala.

Tetapi Yusuf alaihissalam diciptakan untuk menjadi nabi. Rancangan Allah untuknya adalah lebih dahsyat dan menakjubkan. Daripada telaga fitnah, Yusuf bangkit untuk menjadi teladan kebangkitan daripada fitnah jahat sepanjang zaman.

Belum sempat kawan-kawan membantu, Dr Zuhdi berjaya keluar daripada telaga fitnah itu. Belum sempat saya tanya bagaimana pertolongan datang kepadanya lebih awal. Dia hulurkan saya dan kawan-kawan sebuah nukilan ringkas. Sempat juga dia bermeditasi dalam telaganya itu, ganti kepada 'imaginasi'nya yang sedang gawat dalam dunia politik selebriti, politik sandiwara tanah air.

Saya telah masukkan nukilan cantiknya itu di paparan FB saya. Anda boleh menikmatinya dengan enak sekali.

Dr Mohd Zuhdi, seperti yang saya kenali sejak lebih 10 tahun akan memenangi perlawanan ini. Beliau adalah politikus bukan selebriti. Atau, ahli akademik yang sebenar dalam dunia politik damai dan politik benar yang pernah saya lukiskan suatu hari dulu, saat saya juga hampir terjatuh dalam telaga buta..

Syabbas Dr Mohd Zuhdi..

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK PAS PUSAT

No comments

Powered by Blogger.