DrMAZA.com: KENAIKAN HARGA

DrMAZA.com

KENAIKAN HARGA

Ramai orang menyebarkan hadis yang cuba dieksploitasi kononnya kenaikan harga barang adalah ketentuan Allah. Rakyat harus menerima dan ia tidak akan memberikan kesusahan kepada rakyat sebaliknya kata mereka kononnya Ahlus Sunnah mengajar kita menerima semua ini dengan hati yang terbuka.

Saya telah jawab kekeliruan hadis ini pada dua tahun lepas. Saya ulangi di sini;

Dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.
Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. Dia tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. Dia redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.

Usaha

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya) “ (ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:" janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

TAKDIR

Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut: Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya) “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.
Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’.

MAKSUD HADIS

Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata: “Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.
Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut: “Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.
Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

No comments

Powered by Blogger.