PAS gantung keahlian dua Adun Selangor sokong Wan Azizah

OLEH MD IZWAN

PAS hari ini memutuskan menggantung keahlian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharudin digantung selama setahun dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti parti Islam tersebut.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung hampir lima jam di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.


Saari dan Hasnul, bagaimanapun, masih lagi ahli PAS.

"Keputusan yang diambil tadi memutuskan kedua-duanya digantung selama setahun," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di sidang media hari ini.

Dalam reaksi segera mereka ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hasnul berkata beliau sedikit terkejut dengan keputusan itu tetapi memang menjangkakannya.

"Saya akan pertimbangkan untuk membuat rayuan," katanya.

Saari pula berkata beliau akan menunggu surat rasmi parti mengenai keputusan itu dan memikirkan tindakan selanjutnya selepas itu sama ada untuk merayu atau tidak.

Mustafa berkata tindakan tatatertib tersebut diambil berdasarkan peruntukan Fasal 82(6) Perlembagaan PAS kerana melanggar arahan keputusan parti tersebut.

Menjelaskan keputusan tersebut, Mustafa berkata kedua-dua Adun itu tidak boleh menyertai sebarang aktiviti parti. Mereka mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan.

"Mereka boleh merayu berdasarkan Fasal 83(4)(5) Perlembagaan PAS pindaan 2011," katanya.

Mustafa berkata Saari dan Hasnul boleh membuat rayuan bertulis kepada setiausaha Majlis Syura Ulama, badan yang mempunyai kuasa untuk membuat kata putus, yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Pusat.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dihadiri Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar dan AJK PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan.

Hasnul dan Saari sebelum ini bersama 15 Adun DAP dan 13 Adun PKR menyokong Dr Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sebelum PAS bermesyuarat bagi mencapai keputusan rasmi mengenai perkara tersebut.

Hadi dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor bulan lalu mengecam tindakan kedua-dua Adun itu, malah menggelar mereka sebagai “barua”. – 12 Oktober, 2014.

No comments

Powered by Blogger.