10 soalan objektif buat PM

Di keluaran Harakah Bil 2066 (27-30 Julai), Presiden PAS telah melahirkan kebimbangannya mengenai susutan nilai Ringgit yang mendadak kerana krisis isu 1MDB.

Malah beliau ingin mengetahui kebenaran kepada dakwaan-dakwaan yang melimpah ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dengan mendesak kerajaan bersikap jujur dan telus dalam usaha menyelesaikan segera isu 1MDB dengan apa saja langkah yang diperlukan.

Jika kerajaan gagal melakukannya, beliau memberi amaran ekonomi Malaysia akan musnah dengan kejatuhan Ringgit. Beliau turut mengingatkan Umno bahawa kepentingan rakyat dan negara harus menjadi keutamaan.

Oleh itu, adalah fitnah untuk sesiapa menyatakan PAS mahupun sesiapapun di PAS yang memberikan sokongan kepada Najib mahupun kerajaan.

Hari ini, Datuk Seri Najib berkata rakyat kini lebih mempercayai persepsi daripada kebenaran, terutamanya dalam isu 1MDB.
Rakyat tidak salah. Puncanya ialah kegagalan beliau mahupun pihak kerajaan memberikan jawapan, malah mengelak soalan yang mudah ke soalan-soalan yang dibangkitkan di dalam isu 1MDB.
Malah, beliau tidak segan-silu menggunakan nama Presiden PAS untuk mempertahankan dirinya berdasarkan berita yang disalah lapor dan penafian sudah dibuat.

Semua ini membuktikan ia hanyalah satu reaksi terdesak daripada Najib yang semakin lemas dalam isu 1MDB.

Di bawah, saya mengemukakan 10 soalan objektif kepada Datuk Seri Najib mengenai kontroversi 1MDB dan beliau. Jawapan kepada soalan-soalan ini bakal membantu rakyat mendapat jawapan dan menghilangkan kerisauan Perdana Menteri bahawa rakyat hanya mempercayai persepsi semata-mata.

1. Apakah akaun Ambank yang didedahkan itu milik Datuk Seri?
A. Ya
B. Tidak

2. Apakah ada duit RM2.6 bilion masuk ke akaun tersebut, Datuk Seri?
A. Ya
B. Tidak

3. Versi di manakah betul mengenai kontroversi RM2.6 bilion yang masuk ke akaun-akaun tersebut?

A. Versi Wall Street Journal – RM2.6 bilion duit 1MDB masuk ke akaun 1MDB
B. Versi Tan Sri Muhyiddin Yassin – ada dana RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi PM
C. Versi Datuk Seri Azalina Othman – wang RM2.6 bilion di dalam akaun bukan masalah
D. Versi Datuk Ahmad Maslan – tiada wang 1MDB masuk ke akaun PM
E. Versi Tun Dr Mahathir – duit itu untuk pilihanraya
F. Versi jawapan asal Datuk Seri - Saya tidak menggunakan duit itu untuk saya sendiri

4. Hari ini Datuk Seri berkata 1MDB bukan duit pembayar cukai. Apakah ada hutang 1MDB dijamin kerajaan dan Datuk Seri yang meluluskannya?
A. Ya
B. Tidak

5. Kerajaan telah memberikan suntikan dana RM950 juta sebagi kredit tunggu-sedia kepada 1MDB pada Mac 2015 yang lalu? Bukankah dana itu ialah duit rakyat?
A. Ya
B. Tidak

6. Pada 9 Mei 2015, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Rahim berkata bahawa TH dijangka meraih keuntungan lebih RM5 juta daripada penjualan satu plot tanah di TRX yang diberli daripada 1MDB.

Hari ini 1 Ogos 2015, Najib berkata jika TH menjual tanah itu, maka yang akan rugi ialah pendeposit.

Siapa yang sedang berbohong?

A. Datuk Seri Najib Razak
B. Datuk Abdul Azeez Rahim

7. Apakah saman WSJ ke belum?
A. Belum
B. Sudah

8. Apakah ahli-ahli kabinet yang lain perlu mendapatkan maklumat mengenai 1MDB daripada akhbar The Edge seperti Tan Sri Muhyiddin?
A. Ya
B. Tidak

9. Apakah Datuk Seri akan membantah keputusan menangguhkan persidangan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi membolehkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO syarikat itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi membersihkan diri dan 1MDB secepat mungkin?
A. Ya
B. Tidak

10. Apakah Datuk Seri bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa berbicara mengenai 1MDB kini ialah satu jenayah?
A. Ya
B. Tidak

Lebih elok Najib menjawab soalan-soalan objektif yang mudah ini daripada terus menyalahkan rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
1 Ogos 2015

No comments

Powered by Blogger.