Papa Tok, mana aiskrim? Pasal apa 'meeting' lama, kami tunggu lama - Cucu Anwar Ibrahim
Madiha Abdullah, Astro Awani | Mei 16, 2018 19:10 MYT
Anwar mahu keluarga 'diraikan' dengan cara paling terhormat, iaitu dengan meluangkan masa bersama Wan Azizah dan Nurul Ilham. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: : Pemimpin Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan hari ini berazam mahu memastikan beliau memperuntukkan masa yang lebih buat keluarga tercinta.
Hal itu diluahkan Anwar ketika menjawab satu soalan yang diajukan hos Astro AWANI dalam sesi temuramah khas di kediaman veteran politik tidak lama selepas pembebasan beliau pada Rabu.
"Papa Tok, mana aiskrim? Keduanya, pasal apa meeting lama, kami tunggu lama. Ini yang sangat membahagiakan saya. Patut beri ruang, mungkin hari ini atau esok. Tapi, saya putuskan Ramadan ini untuk bersama mereka," katanya, sambil tersenyum.
Mengakui perjuangannya selama 20 tahun dan perjuangannya selepas ini juga adalah satu bentuk perjuangan keluarga, Anwar mahu mereka 'diraikan' dengan cara paling terhormat, iaitu dengan meluangkan masa bersama.
"Saya baru menghirup udara kebebasan, jadi saya mahu gunakan masa yang ada dengan keluarga.
"Dapat berjumpa dan berkumpul sekali, itu satu kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kerana itu saya sudah berjanji mahu memperuntukkan masa sepanjang Ramadan ini untuk mereka," ujarnya.
No comments
Post a Comment