TUN, KONSEP RULE OF LAW APA YANG TUN PAKAI?

TUN, KONSEP RULE OF LAW APA YANG TUN PAKAI?

Ke hadapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Ke-7,

Dengan penuh rasa rendah diri, tulisan ini dibuat berdasarkan ucapan Tun pada 10 Mei 2018 selepas Tun mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum Ke-14. Tun berjanji bahawa Tun akan mengembalikan 'rule of law' di negara ini. Namun 3 hari selepas pemerintahan Pakatan Harapan, sudah berlaku pelanggaran 'rule of law' dari Tun sendiri selaku Perdana Menteri.

Pertama, pada 12 Mei 2018 Tun secara rasmi telah mengumumkan bahawa perkhidmatan Tan Sri Apandi Ali selaku Peguam Negara ditamatkan serta merta, atau secara tidak langsung bolehlah difahami sebagai Tan Sri Apandi telah dipecat sebagai Peguam Negara. Soalnya adakah pemecatan ini dibuat berlandaskan undang-undang?

Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Perkara 145 (6) menyatakan secara jelas bahawa seseorang Peguam Negara tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Prosedur pemecatan Hakim Mahkamah Persekutuan termaktub dalam Perkara 125(3) bahawa seseorang Hakim hanya boleh dipecat atas alasan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan, atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain. Pemecatan juga hendaklah melalui suatu tribunal yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, dan dilakukan atas syor tribunal tersebut. Hujah ini juga telah digunakan oleh Gobind Singh Deo semasa penamatan perkhidmatan Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara.

Soalnya adakah terdapat pelanggaran etika yang dibuat oleh Tan Sri Apandi? Jika ada, adakah pemecatan ini telah dibawa dan disyorkan oleh tribunal yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong? Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh bertindak melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan memecat seorang Peguam Negara melalui sidang media tanpa mengikut prosedur yang termaktub dalam Perlembagaan? Di mana konsep 'rule of law' yang digunapakai dalam pemecatan ini?

Kedua, pada hari yang sama juga Tun menyatakan bahawa Tun telah mengarahkan Imigresen untuk menyekat mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk keluar negara.

Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak dan kebebasan setiap warganegara untuk bergerak. Benar, hak dan kebebasan ini tidak disebut secara spesifik dan kerajaan mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana warganegara untuk keluar atas alasan yang kukuh. Namun atas alasan apa DS Najib disekat untuk keluar? Jika alasannya adalah kerana penglibatan beliau dalam 1MDB, adakah beliau telah didakwa atas kesalahan beliau? Bukankah prinsip undang-undang ada menyatakan seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah?

Jika disekat atas tujuan siasatan, adakah kertas siasatan ke atas DS Najib telah dibuka? Adakah terdapat sebarang injunksi dari Mahkamah untuk menghalang beliau ke luar negara? Prosedur mana yang telah diguna pakai? Bukankah ini suatu pelanggaran 'rule of law'?

Saya menuntut agar Tun mengotakan janji dan mematuhi segala 'rule of law' dalam pentadbiran Tun, termasuk ke atas musuh politik Tun sendiri. Seorang pemimpin yang tidak menghormati 'rule of law' adalah pemimpin yang tidak beretika, kerana 'rule of law' adalah suatu perkara yang boleh menghalang seorang pemimpin dari mempunyai kuasa penuh (absolute power), dan kuasa penuh adalah korup sepenuhnya (corrupts absolutely).

Malah Tun sendiri berjanji untuk melakukan reformasi dalam pentadbiran. Reformasi ini harus dimulakan oleh Tun sendiri selaku Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi Tun pernah mempunyai sejarah hitam menyalahgunakan 'rule of law' untuk kepentingan Tun semasa 22 tahun memerintah sebelum ini.

Saya mengharapkan agar Tun mengotakan janji dan melakukan perubahan sebaiknya untuk negara tercinta. Mohon maaf andai terkasar bahasa.

Yang cintakan negara,

Nazrul Nazir
Rakyat Malaysia

No comments

Powered by Blogger.