BAHAYA ATEISME: PEMIKIRAN MENOLAK TUHAN


BAHAYA ATEISME: PEMIKIRAN MENOLAK TUHAN


Oleh: Muhammad Rashidi Wahab (Pensyarah, Universiti Sultan Zainal Abidin)


Pendedahan mengenai perjumpaan tahunan kumpulan ateis di Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2017 yang lalu telah menimbulkan kegelisan dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Perjumpaan yang dianjurkan oleh Atheist Republic itu, telah diuruskan oleh The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur (Kedutaan Republik Ateis di Kuala Lumpur) yang merupakan cawangan Atheist Republic di Malaysia. Keanggotaan pertubuhan ini tidak terbatas kepada mana-mana bangsa, dan syaratnya cuma satu, iaitu ahlinya perlu yakin bahawa tuhan tidak wujud. Pendedahan ini membuktikan bahawa kumpulan ateis benar-benar wujud di Malaysia dan mereka bebas bergerak, namun kurang disedari oleh umat Islam dan pihak berkuasa agama.


Istilah ateis (atheis) berasal dari perkataan Yunani, iaitu atheos yang bermaksud “tiada tuhan”. Pada awalnya, istilah ateis ini sering digunakan dalam perdebatan antara penganut Kristian silam dengan pengikut Yunani sehingga masing-masing saling menuduh pihak lawan sebagai ateis. Menurut The Encyclopedia of Religion, ateisme adalah sebuah doktrin bahawa Tuhan tidak wujud dan kepercayaan terhadap kewujudan tuhan ialah kepercayaan yang palsu. Namun begitu, secara umumnya ateis boleh difahami sebagai orang yang tidak mengakui atau mempercayai kewujudan tuhan, manakala ateisme pula bermaksud fahaman atau kepercayaan yang tidak mengakui kewujudan Tuhan.


Imam ‘Abd al-Halim Mahmud, mantan Syeikh al-Azhar menyatakan bahawa tamadun manusia, khususnya tamadun Yunani, dari aspek akidah ketuhanan terbahagi kepada tiga golongan, iaitu: 


1. Golongan syirik. Syirik telah menjadi adat kebiasaan yang diamalkan dalam negara mereka. Gejala ini boleh dilihat melalui patung berhala dan dokumen seni kesusasteraan yang ditinggalkan sebagai bahan bukti sejarah tamadun purba. Golongan ini menggambarkan tuhan dalam pelbagai rupa bentuk yang tidak selayaknya untuk disembah.

2. Golongan tauhid. Golongan ini percaya kepada kewujudan tuhan sebagai pencipta alam. Walau bagaimanapun, kepercayaan mereka bukanlah sebagaimana tauhid yang dibawa oleh para rasul, tetapi tidak juga seperti golongan syirik. Mereka diwakili oleh Socrates, Plato, Aristotle  dan lain-lain.

3. Golongan ateis. Fahaman ini tidak percaya kepada kewujudan tuhan secara mutlak, mengingkari metafizik, kebangkitan dan risalah. Mereka hanya berpegang dengan logik semata-mata sehingga membawa kepada ateisme. Golongan ini jelas kelihatan seperti yang terdapat pada Eficure dan para pengikutnya. 


Daripada ketiga-tiga golongan tersebut, ateis adalah golongan paling minoriti berbanding dua kumpulan lagi, walaupun golongan pertama syirik kepada Tuhan. Hal ini membuktikan bahawa fahaman tidak percaya kepada kewujudan Tuhan adalah tidak diterima oleh majoriti manusia yang berakal pada zaman silam. Selain itu, konsep ketuhanan juga merupakan doktrin terbesar dalam sesebuah agama, kerana tuhan ialah sumber utama kepada setiap agama. Contohnya dalam agama Kristian (Nasrani), sebagaimana agama Yahudi juga, keimanan kepada Tuhan merupakan perkara terpenting dalam setiap agama Samawi, walaupun berlaku beberapa penyelewengan selepas itu daripada pengikut mereka sendiri.


Dalam pemikiran moden di Barat pula, sejarah ateisme dikatakan bermula semasa dan selepas zaman humanisme Renaisans lagi, iaitu sekitar abad ke-14 hingga ke-16 sehingga melahirkan sekularisme. Perkara ini berlaku ketika Barat menumpukan peranan terhadap ilmu kemajuan kebendaan semata-mata sehingga meminggirkan pembangunan kemanusiaan dan kerohanian. Kemunculan sekularisme di Barat disebabkan oleh penyelewengan dan cengkaman institusi gereja secara keterlaluan terhadap penganut agama Kristian. Gereja pada asalnya merupakan sebuah institusi keagamaan Kristian yang sangat dihormati dan disanjungi masyarakat Barat sebelum zaman Renaisans. Mereka menjadikan gereja sebagai tempat rujukan utama dalam segala keadaan sehingga gereja mudah menguasai dan mengongkong seluruh kehidupan masyarakat Kristian di Barat.  


Keadaan tersebut berubah setelah gereja didapati menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan nama tuhan sehingga menjatuhkan maruah gereja di mata penganut Kristian. Masyarakat Barat terpaksa memikirkan kaedah terbaik untuk melepaskan diri daripada penindasan dan cengkaman gereja, iaitu dengan memisahkan diri dan kehidupan daripada nilai keagamaan Kristian dengan memberikan tumpuan terhadap kemajuan, kemewahan, kebendaan, kemegahan dan kewangan semata-mata (materialistik). Semenjak itu, Barat berusaha menguasai peradaban dunia dengan menyebarkan pelbagai ideologi dan pemikiran yang dicipta oleh mereka kepada seluruh manusia, khususnya umat Islam, kononnya pemikiran Barat mampu memberikan kemajuan kepada ketamadunan dunia.


Kesan daripada kebangkitan di Barat ini, maka lahirlah beberapa kenyataan yang disifatkan sebagai menolak agama dan tuhan. Antara tokoh terawal yang didapati mengemukakan idea ateisme ialah Baron D’Holbach (m. 1789M) yang menulis buku The System of Nature dan Percy Bysshe Shelley (m. 1822M) yang menulis buku The Neccesity of Atheism,  namun orang pertama yang mengaku sebagai ateis ialah Denis Diderot (m. 1784M). Dalam buku The System of Nature, D’Holbach bukan hanya menyatakan bahawa alam ini bekerja dengan mekanismenya sendiri dan tidak melibatkan pengaruh tuhan, bahkan beliau menolak kewujudan tuhan dan mengkritik agama dengan keras. Beliau menuduh agama adalah suatu bentuk penindasan serta kezaliman yang melemahkan munculnya kebenaran. Dengan kata lain, ateisme di zaman moden ini, menurut D’Holbach, adalah lanjutan daripada deisme.  


Begitu juga Karl Marx (m. 1883M) yang merupakan tokoh Sosialis dan Kapitalis, berpendapat bahawa Kristian dan semua agama di dunia hendaklah dimusnahkan terlebih dahulu sebagai proses membina alam agar manusia menjadi tuhan. Oleh sebab itu, agama dianggap oleh Karl Marx sebagai candu rakyat, dan agama dikatakan telah merampas kesedaran manusia dengan membawa episod kedukaan, sedangkan manusia berkeinginan menjadikan kehidupan alam ini lebih baik. Menurutnya lagi, bukan tuhan yang mencipta manusia, tetapi manusialah yang mencipta tuhan. Malah, Vladimir Lenin (m. 1924M) yang merupakan pendukung kuat falsafah Karl Marx turut berkata bahawa agama adalah sejenis arak yang sangat kotor sehingga memabukkan akal serta menutup ingatan seseorang manusia daripada mengingati tentang kesedaran untuk berusaha membebaskan diri.


Kemuncaknya, Friedrich Nietzsche (m. 1900M) mengisytiharkan bahawa tuhan telah mati, dan gagasan ini telah menjadi asas terpenting kepada ateisme dan lain-lain ideologi pascamoden, termasuklah eksitensialisme, untuk tidak mempercayai tuhan. Maka, kehidupan dunia kini diisytiharkan bebas daripada kongkongan tuhan dan agama. Kemunculan agama baru, khususnya berlandaskan sekularisme, dicanangkan bagi menggantikan agama Kristian tradisional. Fenomena ini dikatakan bertepatan dengan proses evolusi perkembangan manusia daripada kanak-kanak menjadi dewasa dengan manusia harus membuang sifat kanak-kanak tersebut apabila mereka telah meningkat dewasa. Keracunan pemikiran sebegini merupakan sejarah terburuk dalam kehidupan agama Kristian di Barat sebelum berkembang ke seluruh dunia hingga hari ini.


Dalam hal ini, menurut kajian yang dilakukan oleh Global Index of Religiousity and Aetheism pada tahun 2012 oleh WIN-Gallup International, daripada 50,000 responden yang dipilih daripada 57 buah negara, data yang diperolehi menunjukkan bahawa 13 peratus atau 6,500 responden mengaku bahawa mereka sebagai ateis. Sebanyak 23 peratus menyatakan bahawa mereka tidak beragama dan 59 peratus atau 29,500 responden sahaja yang mengakui bahawa mereka beragama. Keputusan ini sangat membimbangkan dengan 36 peratus atau 18,000 responden menyatakan bahawa mereka adalah ateis dan tidak beragama. Keputusan ini juga menunjukkan bahawa wujudnya pola pemikiran manusia secara besar-besaran yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan tidak beragama. 


Menurut kajian ini lagi, China merupakan negara yang paling ramai mengaku sebagai ateis, iaitu 47 peratus, diikuti oleh Jepun 31 peratus, Republik Czech 30 peratus dan Perancis 29 peratus. Arab Saudi pula merupakan negara Islam paling ramai ateis, iaitu lima peratus, diikuti oleh Palestin empat peratus, Pakistan dan Turki dua peratus. Di Malaysia, tiada pengakuan tentang ateis dilaporkan, iaitu 0 peratus, sedangkan pada tahun 2005 dicatatkan empat peratus ateis. Walau bagaimanapun, 13 peratus dilaporkan tidak beragama di Malaysia dan enam peratus lagi tidak diketahui pegangan mereka.  Kajian ini turut meletakkan Malaysia menduduki tangga ke-17 daripada 57 buah negara yang berpegang dengan agama, iaitu 81 peratus,  melonjak empat peratus berbanding tahun 2005, iaitu 77 peratus.  


Selain itu, WIN-Gallup International juga melantik TNS Malaysia sebagai wakil mereka di Malaysia bagi melakukan kajian lanjutan pada tahun 2014. Berdasarkan kajian tersebut ke atas 500 responden di Malaysia, didapati tiga peratus mengaku sebagai ateis dan 20 peratus tidak beragama. Daripada jumlah ateis itu, mereka yang terlibat berumur 18-34 tahun tujuh peratus dan 35-54 tahun enam peratus, berkerja tiga peratus dan pelajar lima peratus, pendidikan tinggi empat peratus dan sekolah menengah tiga peratus. Di samping itu, kajian ini melaporkan 72 peratus responden di Malaysia berpegang dengan agama dan enam peratus lagi tidak diketahui pegangan mereka. Berdasarkan keputusan yang dipaparkan ini, walaupun peratusan ateis di Malaysia masih berskala kecil,  tetapi hal ini sangat membimbangkan dan berpotensi untuk meningkat jika tidak diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.


Hakikatnya, naluri semula jadi setiap manusia yang berakal adalah mempercayai kewujudan tuhan. Tuhan bermaksud sesuatu yang dipuja atau disembah oleh golongan manusia yang beragama. Dalam sejarah manusia, Nabi Adam a.s. diakui oleh setiap agama Samawi sebagai manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT dengan mempelopori tamadun terawal dunia yang dikatakan bermula di Mesopotamia (Iraq) sekitar tahun 4000SM. Menurut ajaran Islam, Nabi Adam a.s. merupakan seorang rasul yang diutuskan sebagai khalifah di muka bumi. Sebagai seorang rasul, sudah tentulah baginda mengimani kewujudan Tuhan, iaitu Allah SWT. Perkara ini telah dirakamkan dalam al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 30.


Dalam konteks Malaysia, selain fatwa dan undang-undang, pengukuhan ilmu keagamaan melalui pendidikan merupakan elemen terpenting dalam menangani bahaya ateisme secara berkesan. Pengajian akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (Asya’irah dan Maturidiyyah) yang berteraskan wacana Sifat 20 mesti diketengahkan dengan lebih meluas kepada seluruh umat Islam, kerana hal ini mampu untuk menangkis pemikiran menolak kewujudan Tuhan. Perbahasan sifat Wujud dalam Sifat 20 sebagai sifat yang wajib bagi Allah SWT telah dihuraikan oleh para ulama, dengan penggunakan dalil naqli dan dalil aqli yang kukuh, malah disokong dengan bukti empirikal, sehingga terbukti kewujudan Allah SWT tidak mampu lagi ditolak oleh manusia yang berakal. 


Dalam masa yang sama, aktiviti dakwah terutamanyanya kepada golongan remaja yang kurang pendidikan agama perlu dipergiatkan dengan pelbagai kaedah, memandangkan mereka merupakan sasaran yang terdedah dengan bahaya ateisme ini. Golongan remaja sebegini perlu didekati secara bersahaja dan santai agar kefahaman tentang Islam dapat disampaikan juga kepada mereka. Selain itu, pihak berautoriti disarankan memanfaatkan penggunaan media sosial semaksimum yang mungkin dalam menyebarkan dakwah Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana majoriti manusia pada zaman globalisasi kini menggunakan media sosial untuk mencari maklumat dan informasi. Maka, menjadi kewajipan bagi umat Islam berjihad menguasai media sosial.


Dipetik daripada: 

Majalah Dewan Tamadun Islam, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, bil. 10/2017, halaman 20-23.


Sumber dan rujukan: https://www.facebook.com/rashidiwahab/posts/1441783939190577

No comments

Powered by Blogger.