Daripada Melayu Glokal Kepada Melayu Angkasa

KETIKA merasmikan pembukaan bersama Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno tahun lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, menyarankan agar orang Melayu mengamalkan konsep glokal.Mohon maaf kalau sampai hari ini pun saya belum mengerti saranan Timbalan Perdana Menteri itu.Pertama, mungkin kerana keupayaan intelek dan minda saya tidak sampai ke tahap yang membolehkan saya memahami segala konsep dan label yang “tinggi-tinggi” dan “canggih-canggih” yang menjadi kesukaan kini.Kedua, setelah membandingkan kupasan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai glokal dengan apa yang dibincangkan mengenai glokal (glocal dalam bahasa Inggeris) sejak beberapa dekad lalu, saya mendapati beliau memberi interpretasi yang agak berlainan.(Pengertian umum konsep ini adalah kemampuan seseorang individu, masyarakat atau bangsa berfikir secara global dan bertindak secara tempatan.)Namun apa pun maksud beliau, saya berasa agak gembira kerana bukan semua usaha yang dilakukan sejak 50 tahun lalu untuk menaikkan taraf (status) orang Melayu sebagai bangsa merdeka dan bangsa induk di Malaysia menemui kegagalan.Bilangan orang Melayu semakin ramai. Orang Melayu lebih tinggi persekolahannya. (Saya sengaja tidak menggunakan ungkapan lebih tinggi ilmu kerana seseorang itu boleh bersekolah sehingga ke universiti tetapi masih tidak berilmu).Orang Melayu juga lebih kaya daripada sebelum merdeka walaupun orang Cina dan India jauh lebih kaya. Malah jurang pendapatan antara mereka dengan kaum-kaum Cina dan India sebenarnya semakin meluas, khususnya sejak krisis ekonomi serantau 1997/98.Malah jurang pendapatan antara orang Melayu yang tidak berada dengan orang Melayu yang berada juga semakin luas mengikut ukuran Pekala Gini (Gini co-efficient).Orang Melayu terdedah kepada pelbagai bentuk dan saluran maklumat dan hiburan. Tetapi majoriti orang Melayu memilih telenovela Indonesia, Filipina, Argentina dan drama swasta daripada saluran maklumat dan ilmu seperti National Geographic, Animal Planet, Discovery Channel, History Channel, BBC, CCTV9 dan Al-Jazeera.Saya tidak perlu sebut mengenai Akademi Fantasia kerana fantasi, angan-angan dan khayalan adalah sebahagian padu daripada minda Melayu.Walaupun mereka berpijak di bumi bertuah bernama Malaysia tetapi mimpi mereka adalah mimpi Bollywood, mimpi Manila, mimpi Beunos Aires dan mimpi Jakarta.Maka saya bertanya, adakah masih bertuah bumi kita Malaysia?Dengan minda Melayu yang sebegini atau disengajakan agar menjadi begini maka amat kenalah kalau tahun ini, di majlis yang serupa, Mohd Najib mahu “mengangkasakan” orang Melayu.“Mengangkasakan bangsa” jerit Utusan Malaysia dan Berita Harian.Ini pastinya satu pengalihan perhatian yang bijak di saat-saat mimpi indah dan khayalan orang Melayu terbanyak semakin diganggu gugat oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan, jenayah yang semakin menjadi-jadi, ketidaktentuan mengenai siapa berkuasa -- Majlis Raja-Raja atau Kabinet? -- dan banyak lagi isu-isu pokok yang merisaukan.(Mungkin elok kalau ketika para perwakilan memuji dan memuja idola, mentor dan “protector” masing-masing, mereka bertafakur sejenak sambil menyedekahkan Al-Fatihah dan memohon kepada Ilahi agar pembunuh Nurin dan semua penjenayah durjana dibalas dosa mereka, kita dihindarkan daripada bala dan para khalifah serta ketua kabilah kita diberi petunjuk.)Apa yang dihujahkan oleh Mohd Najib dan diuar-uarkan oleh media massa arus perdana yang akur hanyalah sambungan kepada impian Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan “towering Malays”.Disebabkan tiada istilah rasmi bahasa Melayu bagi “towering Malays” -- mungkin kerana pemikir Melayu yang berkuasa hari ini selesa berfikir dalam bahasa Inggeris – maka saya menterjemahkannya sebagai “Melayu yang tinggi menjulang perwatakannya” supaya orang kampung Tanah Merah, Pendang, Kedah dan Kampong Bongek, Negeri Sembilan boleh faham.Maaf kalau saya katakan masih ramai orang Melayu yang sukakan cogan kata dan bahasa besar sebegini. Mereka sukakan sesuatu yang abstrak yang mereka tidak faham tetapi sedap disebut dan canggih bunyinya.Mungkin oleh kerana majoriti orang Melayu mudah dipengaruhi oleh cogan kata, konsep abstrak dan label-label yang indah inilah maka orang yang cerdik, pintar atau putar belit macam Ayah Pin boleh meyakinkan orang Melayu bahawa dia boleh menjadikan mereka tinggi mengawan dengan menubuhkan “kerajaan langit” (sky kingdom).Atau apakah minda Melayu sebenarnya masih terperangkap dan membeku dalam cerita hikayat dan mitos – bahawa asal-usul mereka adalah dari langit, dari kayangan daripada kalangan dewa-dewa dan dewi-dewi, daripada keturunan Malim Deman dan Malim Dewa?Mohon ampun kalau rencana kali ini, seperti yang amat saya takuti dan benci, menjadi abstrak, sinis dan skeptis (maaf juga kerana menggunakan istilah saduran bahasa Inggeris).Antara koridor dan “towering Malays”, antara “Islam Hadhari” dan integriti, antara Melayu glokal dan Melayu angkasa, saya sesat dalam pemikiran sendiri. Mungkin minda saya yang terperangkap dalam kebekuan masa. Minta dijauhkan Allah Taala.Nota kaki: Ketua Wanita Rafidah Abdul Aziz berkata hentikan kenyataan-kenyataan retorik dan sebaliknya tangani isu-isu pokok yang menyentuh massa.Ketua Pemuda Hishammuddin Hussein berkata ada kesan yang menguntungkan daripada saluran baru maklumat dan komunikasi termasuk blog.UPDATEUntuk rekod: Tahun ini, kalau saya ke PWTC untuk mengikuti MAT, saya terpaksa hadir sebagai wartawan yang tidak diberi akreditasi – unaccredited.Sehingga petang ini, saya belum mendapat pas wartawan/media daripada Ibu Pejabat Umno (IPU).Pertanyaan oleh pejabat saya kepada Nor Azilah Abdul Munir, Unit Media, IPU, mendapat jawapan melalui SMS seperti berikut: “Dato husainay lum luluskan. Minta maaf byk2 zla tggu arahan je. Tq.”Dalam bahasa formal: Dato’ Husainay belum luluskan. Minta maaf banyak-banyak Zila tunggu arahan sahaja. Thank you.”Pada kira-kira jam 5.20 petang tadi, pejabat saya sekali lagi menghubungi Nor Azilah untuk mendapatkan pengesahan dan diberitahu bahawa tiada perkembangan lanjut kepada permohonan saya itu.Saya sendiri menghantar pesanan SMS kepada kepada Nor Azilah pada kira-kira jam 3.00 petang tetapi tiada respons. Pesanan saya berbunyi: “Sdri Nor Azilah, mohon maaf. Saya A Kadir Jasin mohon pengesahan sama ada permohonan pass saya diluluskan atau tidak. Salam dan terima kasih.”Bagaimanapun, elok dinyatakan bahawa permohonan pas wartawan lain dari pertubuhan saya diluluskan.Namun saya masih boleh ke PWTC sebagai seorang wartawan, ahli parti, pengunjung biasa atau sebagai pelanggan pasar lambak MAT. This is a free country.

No comments

Powered by Blogger.