Penyokong Kelantan buat kecoh dicekup

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 17 tahun yang juga penyokong pasukan Kelantan ditahan selepas disyaki cuba mencetuskan pergaduhan antara penyokong negerinya dan Selangor selepas Perlawanan Akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini, malam kelmarin.

Remaja itu mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan penyokong Selangor yang meraikan kemenangan mereka menjuarai Piala FA selepas menewaskan Kelantan dalam penentuan sepakan penalti.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata polis berjaya mententeramkan penyokong kedua-dua pasukan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Sikap penyokong kedua-dua pasukan masih kurang matang. Tindakan provokasi bukan sesuatu yang bijak apatah lagi pada perlawanan akhir seperti ini.

“Kita berjaya mengawal keadaan dan tidak menerima laporan kekecohan atau pergaduhan,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Amir berkata, pihaknya turut menerima laporan seorang peniaga yang mendakwa cermin keretanya jenis Naza Citra dipecahkan dan wang tunai kira-kira RM4,000 hilang.

Katanya, sebuah motosikal turut dirosakkan di kawasan letak kenderaan di stadium itu.

Dalam kejadian berasingan di Desa Aman Puri, Kepong, tiga lelaki warga Afrika berusia 20 hingga 30 tahun ditahan kerana dipercayai mencetuskan pergaduhan dengan sekumpulan lelaki tempatan gara-gara perlawanan akhir berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata tiga kereta turut rosak dalam pergaduhan itu.


geng indon dok buat gila hang tengok saja?

No comments

Powered by Blogger.