Syabas Ronnie! Logo ‘1Malaysia’ Kekal Haram di Selangor – Ronnie

SHAH ALAM 29 Dis - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor tidak membekukan arahan agar logo ‘1Malaysia’ dipaparkan di papan iklan dan arahan tersebut masih berkuatkuasa, ujar Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

Katanya, beliau hanya mengarahkan agar tidak menurunkan papan iklan tersebut sehingga mesyuarat Exco seterusnya, bukan seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini, bahawa arahan tersebut telah dibekukan.

Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri hanya membenarkan papan iklan politik sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menganggapnya sebagai propoganda politik.

“Mereka masih tidak boleh meletakkan papan iklan tanpa permit,” kata beliau, seperti dilaporkan dalam The Malaysian Insider hari ini.

Katanya lagi, sekiranya PBT merasakan sesuatu papan iklan itu berunsurkan politik maka PBT tersebut boleh menolak pemberian permit.

Sebelum ini, bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Ronnie sebagai ‘tidak berpendidikan’ dan menyatakan undang-undang negeri Selangor membenarkan premis perniagaan untuk menayangkan logo berunsurkan politik.

Khir Toyo juga menekankan bahawa halangan menaikkan papan iklan berunsurkan politik hanya tertakluk kepada kawasan di bawah bidang kuasa PBT seperti lampu jalan dan jalan raya.

Ronie bagaimanapun menyatakan, undang-undang kerajaan negeri membenarkan parti politik menaikkan kain rentang dan papan iklan semasa mengadakan majlis keramaian berunsurkan politik.

“Kita membenarkan parti politik mengadakan ceramah dan menaikkan kain rentang. Apa yang kita cuba sampaikan ialah papan iklan dan papan tanda tidak boleh digunakan untuk propoganda politik,” tegas beliau.

Ronnie menyifatkan logo 1Malaysia sebagai mesej politik Barisan Nasional (BN) kerana logo tersebut selalu diguna pakai bersama simbol BN dan mendakwa Khir Toyo tidak faham undang-undang kerajaan negeri.

“Khir Toyo tidak tahu maka lebih baik sekiranya beliau mendiamkan diri,” kata beliau.

Beliau juga menyangkal dakwaan Khir Toyo bahawa arahan menghalang logo ‘1Malaysia’ dipamerkan adalah satu langkah bersifat politik oleh kerajaan negeri Pakatan Selangor.

“Ini bukanlah kerana Pakatan mahu mencari kesalahan pada BN. Halangan ini termaktub dalam kesemua 154 PBT di negara ini, bukan sahaja di Selangor,” jelas Ronnie lagi.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada menyatakan ‘1Malaysia’ adalah satu ‘alat’ untuk menggalakkan perpaduan antara kaum tetapi Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri jelas menghalang apa-apa bentuk iklan yang berunsurkan politik.

“Di bawah Klausa 17, ada senarai bentuk pengiklanan yang tidak dibenarkan dan salah satunya adalah pengiklanan berunsurkan politik,” tambah beliau.

1 comment

goodlistener said...

dgn 1 malaysia pun PK dah gentar...tujuan 1 malaysia adalah untuk perpduan berbilang bangsa di malaysia, tak kan itu pun salah...nampak sgt PK ini dah takut bayang2 sendiri....bodoh ronnie sepatutnya mesyuarat exco untuk bincang tentang langkah untuk memajukan dan memberi kesejahteraan kpd rakyat...buang masa je utk berbincang 1 hari suntuk pasal logo 1 malaysia, sebenar nya depa ni tak tahu nak buat keje dan malas nak buat keje.

Powered by Blogger.