Memperjuangkan agenda Melayu secara adil dan berkebajikan

Oleh Abu Firdaus

Apa yang dikatakan agenda Melayu bukan saja menjadi perjuangan Umno tetapi juga merupakan isu bagi Pakatan Rakyat khususnya PAS dan Keadilan.

Tetapi tentulah pendekatan dan inti agenda Melayu antara Umno dan PAS-Keadilan amat berbeza. Perbezaannya terletak pada dimensi keadilan, kebajikan dan orientasi rakyat, selain daripada bebas rasuah.


Apakah dia agenda Melayu? Pertama, agama Islam; kedua, kedaulatan Melayu; ketiga, bahasa Melayu; keempat, pendidikan Melayu dan kelima; ekonomi Melayu.

Perkara ini perlu dijelaskan bukan saja supaya orang Melayu berasa selesa untuk menyokong Pakatan Rakyat tetapi juga hubungan antara DAP dan PAS juga dapat difahami.

Asas utama kerjasama DAP-PAS-Keadilan ialah urus tadbir negara yang baik, demokratik, adil dan bebas rasuah. Tetapi perbezaannya nanti ialah mengenai agenda Melayu.

Pendirian DAP adalah jelas iaitu memperjuangkan Malaysia yang demokratik. Dalam sebuah negara demokratik, tentunya Islam seperti lain-lain agama bebas diamalkan.

PAS pula memperjuangkan Islam di mana demokrasi itu diterima oleh agama ini. Dalam negara Islam, semua agama juga bebas diamalkan.

Hakikat Islam sebagai agama rasmi juga tidak ada masalah bagi DAP, apatah lagi PAS. Ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan oleh kerana majoriti rakyat negara ini beragama Islam dan mahukan ia sebagai agama rasmi, maka ia akan kekal seperti itu.

Apa yang menjadi isu kelak ialah bagaimana agama rasmi itu ditafsirkan dan dilaksanakan? Soal agama ini amat sensitif dan ia perlu ditangani secara mikro dan amat berhemah. Di kalangan orang Islam juga mempunyai pandangan pelbagai.

Kemudian soal kedaulatan Melayu. Tentu bagi DAP, penerimaan Raja raja Melayu sebagai ketua negara tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi soal ialah maksud kedaulatan Melayu dengan dikaitkan bahawa pemilik utama negara ini adalah orang Melayu.

Dalam sistem demokrasi tentunya negara adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum. Begitu jugalah sebenarnya bagi Malaysia.

Cumanya negara ini mempunyai latar belakang sejarah yang tidak boleh dipadamkan begitu saja. Hakikatnya Malaysia yang berasaskan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu adalah asalnya negeri orang Melayu yang menerima orang Cina dan India sebagai warganegara.

Tidak kiralah orang Melayu itu berada dalam PAS, Keadilan malah dalam DAP akan tetap mempertahankan hakikat sejarah dan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Setakat menerima hakikat sejarah, yang walaupun tidak dapat dipersetujui bersama, kerana ia dilihat dari sudut pandangan berbeza, mungkin tidak ada masalah.

Tetapi masalahnya ialah apabila ia dikaitkan dengan peruntukan perkhidmatan awam untuk Bumiputera, bantuan biasiswa dan juga ekonomi. Di sinilah yang akan berlaku konflik dengan DAP dan Keadilan bukan Melayu menganggapnya diskriminasi.

Satu hakikat yang semua orang perlu terima ialah keadaan orang Melayu yang masih ketinggalan dalam bidang pendidikan dan ekonomi walaupun banyak perkara telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno selama ini.

Dalam erti kata lain, cara Umno itu walaupun ada pencapaian tetapi sebenarnya masih gagal. Suatu kaedah lain perlu dicari dan inilah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Rakyat terutama PAS dan Keadilan.

Di peringkat perkhidmatan awam, tentunya DAP mahukan meritokrasi tanpa mengira kaum. Dengan sendirinya akan banyak orang bukan Melayu yang lebih layak menyertai perkhidmatan itu. Peluang bagi orang Melayu lebih mengecil.

Begitu juga dalam soal pendidikan dan perniagaan. Akhirnya dasar dan program untuk orang Melayu pasti perlu diperkenalkan juga tetapi bezanya ialah kali ini ia lebih cekap dan adil.

Jadi di satu pihak, perkauman dan diskriminasi dihapuskan, di pihak yang lain pula, nasib masa depan pendidikan dan perniagaan Melayu perlu dibela juga.

No comments

Powered by Blogger.