Ordinan Darurat: Ambiga harap Putrajaya tak ulang kesalahan sama

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


PETALING JAYA, 29 Julai — Terkejut dengan pembebasan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevesan menggesa Putrajaya agar tidak mengulangi tindakan sama.

“Ini adalah berita yang paling menggembirakan hari ini, mereka memang tidak sepatutnya ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan gunakan Ordinan Darurat untuk menahan mereka,” katanya pada sidang media selepas forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Justeru kata Ambiga, beliau amat berharap agar Putrajaya tidak menggunakan Ordinan Darurat untuk menahan seseorang tanpa sebarang bukti yang kukuh.

“Sejak dari mula kita bantah penahanan mereka berenam, kita tidak tahu mengapa mereka ditahan, atas kesalahan apa?

“Jadi saya harap sepatutnya perkara sama tidak lagi berulang,” katanya.

Petang tadi kesemua enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan sejak 28 hari lalu di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan.

Selain Dr Jeyakumar, lima lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A P Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dalam Barisan Nasional mengenakan tekanan agar pentadbiran Najib membebaskan mereka.

Gesaan itu juga dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Semalam, Ismail berkata mereka masih disiasat di bawah Ordinan Darurat.

Awalnya mereka disiasat atas alasan cuba mengadakan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong selepas ditahan di Seberang Perai akhir bulan lalu.

No comments

Powered by Blogger.