Mesej dari penjara: EO-6 bersemangat walau ditekan.

KUALA LUMPUR: Walaupun masih berada di dalam tahanan namun enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO), tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan mereka.

Mesej diberikan kepada keluarga masing-masing dengan menyatakan mereka berada dalam keadaan baik dan tidak gentar dengan tekanan yang dikenakan kerajaan ke atas mereka.

Mesej itu disampaikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarga enam aktivis itu, iaitu Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar, Timbalan Pengerusi PSM, M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemudanya, Sarat Babu.

Antara mesej yang dikirim Jeyakumar ialah “Saya telah berbincang kerana tiada keperluan untuk menahan kami lagi disini. Polis ternyata tidak bersandarkan fakta. Jelas lagi nyata PSM telah terbukti bergerak secara aman dalam 13 tahun.

M Saraswathy juga berkata “Perjuangan perlu diteruskan, Tindakan Polis adalah pengecut kerana menahan kami tanpa bukti.

“Kenapa hukum kami tanpa ada bukti ? Undang-undang zalim perlu mansuh dan undang-undang ini tidak akan memberhentikan perjuangan kami.Kami lebih kuat dari sebelumnya”

Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat Choo Chon Kai juga berkata beliau bersedia menghadapi apa jua keadaan dan berterima kasih dengan sokongan orang ramai.

Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar bersama lima anggota sebelum ini ditangkap mengikut (EO) sebaik mereka dibebaskan bersama lima lagi individu lain pada 2 Julai lalu.

Sebelum itu, mereka bersama 24 yang lain ditahan di Tangkak Johor semasa program ‘Udah lah..bersaralah’, menjelang himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

No comments

Powered by Blogger.