UIA tarik balik arahan gantung tugas Aziz Bari, diarah lapor diri esok

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menarik balik arahan gantung tugas yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Abdul Aziz Bari hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan sekitar pukul 6.30 petang tadi, kata peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman kepada The Malaysian Insider.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Dalam laporan petang tadi, The Malaysian Insider memetik Zulqarnain berkata UIA memaklumkan akan mengumumkan keputusan hasil siasatannya ke atas Aziz esok.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Zulqarnain berkata dalam responsnya, Aziz telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai titah Sultan Selangor adalah satu bentuk kebebasan dalam memberi pandangan, yang sama sekali tidak bertentangan denagn Artikel 15(3) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan juga Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

“Asasnya penjelasan kami kepada UIA adalah begitu, apa yang dikatakan oleh Prof Aziz ialah ia kebebasan bersuara, tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara... Seksyen 3(2) Akta Hasutan sendiri memberi pengecualian,” katanya.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA telah memberi masa selama seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.

No comments

Powered by Blogger.