700 daftar sertai Google Hangout On Air Anwar malam ini


NURUL AINI MOHAMED ALI
17 Ogos 2012

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli politik pertama Malaysia dan Asia Tenggara dipaparkan menerusi program Google Hangout on Air yang boleh ditonton secara langsung di laman YouTube malam ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, acara ini akan diadakan secara langsung bermula jam 10.30 malam.

"Setakat ini (pagi ini), lebih 700 orang telah memberi respons positif bagi bersama-sama menjayakan acara ini di halaman Facebook dan jumlah dijangka meningkat," katanya pada sidang media di hari ini.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Menteri Australia, Julia Gillard pernah menggunakan aplikasi yang sama untuk berinteraksi bersama rakyat.

"Acara ini akan diadakan secara santai dan soalan-soalan yang ditanyakan oleh tetamu online merangkumi cara hidup Anwar dan pengalaman beliau dalam arena politik," jelas beliau.

Setakat ini, enam ahli panel akan muncul secara online dari rumah masing-masing dan akan mengambil giliran bagi bertanya soalan kepada Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR).

"(Sebanyak) 40 peratus soalan akan ditanya oleh ahli panel, 40 peratus daripada soalan bertulis online dan selebihnya 20 peratus datang daripada soalan yang dikemukakan semasa acara sedang berlangsung," katanya.

Tambah beliau, acara ini dibuat melalui online kerana rakyat kini mudah untuk mendapat akses talian internet dan ia boleh dilakukan secara langsung.

"Orang ramai boleh mengenali personaliti Anwar dengan lebih dekat lagi kerana beliau akan berkongsi pengalaman dalam arena politik negara, filem kesukaan beliau dan perjalanan hidup beliau secara peribadi.

"Ini juga salah satu cara rakyat berhubung dengan pemimpin secara lebih dekat," jelas beliau.

Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung Keadilan, Sharifah Shahidah akan menjadi moderator bagi "Google Hangout".

Ia juga boleh ditonton secara langsung melalui TV Selangor.

Ia boleh ditonton secara langsung di http://www.youtube.com/user/anwarhangout/featured.

Orang ramai boleh mengemukakan soalan-soalan mereka melalui Twitter dengan menggunakan hashtag #BorakAnwar atau secara bertulis di halaman Google Plus Events (http://is.gd/borakanwar) dan Facebook (http://tiny.cc/borakanwar,).

No comments

Powered by Blogger.