Pas: Panel khas royalti helah politik

KOTA BHARU - Pas Kelantan menganggap jaminan Kerajaan Pusat yang tidak akan menafikan hak tuntutan royalti minyak hanyalah  permainan mereka untuk menunjukkan sikap baik kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan yang dilahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu kelmarin adalah untuk mengurangkan tekanan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Di sebalik kenyataan itu, Mohd Amar menjelaskan pengumuman untuk bersikap telus menerusi penubuhan Jawatankuasa Bayaran Royalti disebabkan Kerajaan Pusat tertekan dengan desakan pelbagai pihak termasuk penegasan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menyelesaikan isu berkenaan sebelum pilihan raya.

“Sekarang ini mereka mahu sedapkan hati rakyat Kelantan dengan janji-janji itu untuk menunjukkan sikap baik mereka, apatah lagi sudah menghampiri pilihan raya.“Bagi saya jawapan-jawapan yang diberikan ini adalah sebagai satu helah politik untuk tidak memberikan bayaran royalti kepada rakyat Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri menjangkakan terdapat usaha terselindung di sebalik penubuhan jawatankuasa berkenaan.“Saya jangka selepas ini apabila jawatankuasa membuat keputusan Kelantan tidak layak dan tidak berhak atas tuntutan itu, maka mereka akan berselindung di sebalik ketetapan tersebut yang sekali gus menutup kesilapan mereka.

“Isunya kenapa selama ini boleh diberi kepada Sabah dan Sarawak dan Terengganu, tetapi apabila Pas memerintah Terengganu ia disekat, apabila Kelantan tuntut ada yang mempertikaikan jaraknya. Ini semua adalah helah politik,” katanya.

Mohd Amar sekali lagi menegaskan kajian tidak perlu kerana perkara berkaitan pembayaran itu sudah termaktub dalam perjanjian tuntutan royalti dan semuanya itu adalah tidak menghormati perjanjian.

No comments

Powered by Blogger.