Isu haram undi DAP: 'Utusan tak serik'

Isu haram undi DAP: 'Utusan tak serik'

Zairil Khir Johari

ULASAN Walaupun sudah dua kali didapati bersalah
oleh mahkamah kerana menyiarkan laporan-laporan
yang berunsur fitnah terhadap ketua menteri Pulau
Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan
Eng, akhbar Utusan Malaysia tampaknya masih tidak
serik.

Dengan tajuk sensasi, "Haram sokong DAP" pada muka
hadapan serta laporan susulan di muka surat dalaman,
Utusan Malaysia telah menyiarkan beberapa tuduhan
liar seperti yang dipetik di bawah:

Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam
menyokong DAP yang secara terang-terangan
menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan
hukum hudud.

Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza
dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN)
yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak
membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan
umat Islam.

"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara,
mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil
dan masjid juga mahu sama rata..."

(Dipetik daripada "Haram, berdosa undi DAP ", mukas
urat 5, Utusan Malaysia 8 Ogos 2012.)
Adalah jelas di sini bahawa laporan tersebut bermotif
politik dan bertujuan untuk menabur fitnah dan
implikasi bahawa:

1. DAP merupakan parti yang haram.
2. DAP tidak menerima Perlembagaan Persekutuan.
3. DAP merupakan parti kafir harbi.

Tuduhan bawa implikasi DAP kafir harbi
Umum mengetahui bahawa DAP merupakan sebuah
parti pelbagai bangsa yang sah atau "halal" dari segi
undang-undang.

Perjuangan DAP pula berteraskan prinsip-prinsip
keadilan, ketelusan, kebenaran, kesaksamaan dan
demokrasi, sepertimana yang diperjuangkan parti-parti
rakan dalam Pakatan Rakyat yakni PAS dan PKR.

Selama 46 tahun sejarahnya, tidak sesekali pun DAP
diharamkan atau dibatalkan pendaftarannya.

Tambahan juga, sekian lama ini DAP telah berjuang di
bawah kerangka kenegaraan Malaysia sebagai sebuah
demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem Raja
Berperlembagaan.

Prinsip perjuangan DAP bukan sahaja terpahat dalam
perlembagaan parti, tetapi juga diulangi dalam
Deklarasi Shah Alam, iaitu suatu ketetapan yang telah
dipersetujui dalam persidangan kebangsaan parti awal
tahun ini.

Antara lainnya, wakil-wakil kebangsaan DAP telah
menegaskan "komitmen untuk mempertahankan sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
sebagai ketua negara.

DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan
Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang
paling agung negara dan meluhurkannya dalam
semangat merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia
1963."

Oleh itu, dakwaan bahawa DAP merupakan sebuah
parti haram yang menolak Perlembagaan Persekutuan
itu jelas merupakan fitnah dan tohmah semata-mata.
Laporan Utusan Malaysia tersebut juga membawa
implikasi bahawa DAP adalah parti kafir harbi, hatta
menjadi musuh yang ingin memerangi Islam.

Tidak musuhi mana-mana agama
Ini merupakan satu tuduhan yang sangat berbahaya
dan jelas dilakukan dengan niat untuk mengapi-apikan
sentimen perkauman dan agama.

Apakah asas untuk tuduhan sedemikian
memandangkan DAP tidak pernah memusuhi mana-
mana agama?

Malah, DAP jelas mendukung agama Islam sebagai
agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin
memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan
agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam
Artikel 3 dan 11 Perlembagaan.

Justeru, tuduhan sedemikian tidak mempunyai asas
langsung serta berunsur hasutan.

Untuk mengelak daripada sebarang kekeliruan dan
ancaman yang mungkin timbul akibat tuduhan-
tuduhan palsu yang tidak bertanggungjawab oleh
Utusan Malaysia, saya telah membuat laporan polis di
Ibu Pejabat Daerah, Jalan Patani, Pulau Pinang pagi
tadi.

Walaupun kecewa dengan tindakan lidah rasmi Umno,
khususnya dalam bulan Ramahan yang mulia ini, saya
pasti bahawa rakyat Malaysia tidak senang termakan
dengan umpan hasutan yang cuba dimainkan oleh
Utusan Malaysia.

Lagipun, suratkhabar milik Umno ini sudah pun
beberapa kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.

ZAIRIL KHIR JOHARI setiausaha politik kepada
setiausaha agung DAP.

No comments

Powered by Blogger.