Gambar Perenang Selat Inggeris Sedang Berdoa

http://sphotos-c.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/533805_477895368912005_603852859_n.jpg 

Perenang Selat Inggeris Dedikasi Kejayaan

SEPANG: Perenang solo ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M), Estino Taniyu, 24, yang berjaya menamatkan renangan merentasi Selat Inggeris, Jumaat lalu mendedikasikan kejayaannya itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bersyukur dan gembira dapat menyempurnakan misi itu, Estino berkata perkataan penat dan putus asa tidak pernah terlintas sepanjang ekspedisi itu walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuk air yang sejuk, arus yang deras dan kapal yang lalu-lalang.

"Saya teruskan renangan sebab misi ini bukannya misi perseorangan. Misi ini untuk negara. Kita pun tak kira nak fikir penat masa tu. Kita memang (berenang)dengan satu tujuan," katanya yang ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Ahad.

Estino yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah menamatkan renangan itu dalam masa 13 jam 45 minit dan 45 saat. Beliau merupakan perenang kedua dari Malaysia yang berjaya menakluk Selat Inggeris bagi kategori tanpa sangkar selepas Lennard Lee pada tahun 2004.

Selain Estino, pasukan renang bagi kategori berganti-ganti yang dianggotai oleh Mohd Roslan Mohd Zawawi yang mengetuai renangan, Mohd Khairul Faizal Mazli, Mohd Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd Zulfadhli Mahamad, juga merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menamatkan misi merentas selat yang sama dalam masa 14 jam 30 minit.

Ekspedisi itu adalah di bawah tajaan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia dan naungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Berketurunan Bajau Laut, Estino berkata beliau sudah biasa berenang sejak kecil dan selalu mengikut bapanya yang merupakan seorang nelayan untuk ke laut, malah pernah bekerja secara sambilan sebagai nelayan selepas waktu sekolah.

Katanya pengalaman tersebut turut membantu beliau menyediakan diri dari segi fizikal dan mental untuk menjayakan ekspedisi renangan itu.

Beliau juga menangguhkan perkahwinannya untuk memberikan komitmen penuh terhadap misi itu, dan tunangnya memahami malah turut memberi sokongan untuk beliau menjayakannya.

Salah seorang perenang berganti-ganti, Sharizal, 31, berkata kejayaan itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lain, dalam membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu merenangi selat yang penuh cabaran itu.

"Lepas ni mungkin ada yang lebih baik dari kami boleh menyertai misi seperti ini," katanya yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Jugra, Banting, Selangor.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata Perdana Menteri amat gembira apabila dimaklumkan mengenai kejayaan itu kerana kali terakhir kejayaan seperti itu dibuat pada 2004.

Beliau berkata lebih membanggakan apabila dua kejayaan dapat dicipta serentak, iaitu renangan secara solo dan renangan berganti-ganti melalui enam orang perenang yang belum pernah dibuat oleh mana-mana kumpulan dalam Malaysia sebelum ini.

"Kita berharap pada masa akan datang kita akan dapat hantar lagi rakyat Malaysia melalui Kelab Eksplorasi 7 Benua untuk melakukan misi renangan (seperti ini) dengan harapan dapat melakukan catatan masa yang lebih baik.

"Kita kekurangan pengalaman dalam melakukan misi renangan ini berbanding dengan perenang-perenang dari Barat. Jadi dengan pengalaman yang kita ada ini, kita harap akan dapat membantu untuk melatih peserta lain untuk melaksanakan misi pada masa depan," katanya.BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.