PR yakin PRU13 November ini


NORSHAHZURA MAT ZUKI

SHAH ALAM - Pembangkang yakin Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan November ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang memberikan bayangan lebih jelas mengenai pembubaran Parlimen pada bila-bila masa.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman itu dibuat kerana Barisan Nasional (BN) bimbang persepsi pengundi akan berubah sekiranya pilihan raya dilambatkan disebabkan beberapa isu besar yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, antara dibimbangkan ialah beberapa tokoh besar BN di Sabah dan Sarawak akan bersama Pakatan Rakyat (PR) dan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang kritikal.

“Sekiranya Najib lambat mengadakan pilihan raya, sekiranya saham itu jatuh, ia akan memberi impak kepada pengundi Felda yang tidak menyokong kerajaan sedia ada.

“Kerajaan juga bimbang, banyak pemberian bantuan yang diberikan selama ini akan dilupakan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib yang memberikan bayangan terbaru di Kelantan mengenai tarikh PRU13, kelmarin.

Hujung bulan lalu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berucap di Baling, Kedah secara berseloroh berkata beliau sudah ada semangat membubarkan Parlimen.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas bersedia menghadapi pilihan raya umum pada bila- bila masa dan telah mempersiapkan seluruh jentera pilihan raya.

“Kita telah mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya kerana kita menganggap PRU13 sebagai titik perubahan senario politik negara.

“Setiap negeri telah menghantar nama calon ke Majlis Syura dan ia sedang diluluskan, terpulang kepada Jawatankuasa Pusat untuk menentukannya,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas tampilkan 50 peratus muka baru dalam pilihan raya nanti dan hampir 40 peratus merupakan golongan muda.

“Sebahagian calon PRU12 dikekalkan kerana mempunyai rekod yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke juga bersetuju pilihan raya diadakan pada November nanti dan berharap rakyat menilai betapa pentingnya PRU13 untuk menentukan hala tuju Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.