Jambatan kedua Sultan Yahya Petra boleh diguna sebelum Tahun Baru Cina


KOTA BAHARU - Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang menelan kos RM170 juta dan dijangka siap sepenuhnya September ini akan dibuka kepada orang ramai, sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha bagaimanapun berkata buat permulaan jambatan baharu itu hanya membenarkan kenderaan melalui satu daripada empat lorongnya iaitu bagi laluan Kota Baharu ke Pasir Pekan.

"Laluan kedua-dua hala, kita jangka boleh digunakan sepenuhnya Julai tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.

Makhtar berkata kos asal pembinaan jambatan sepanjang 2 km merentangi Sungai Kelantan yang mula dibina Jun 2007 itu, ialah RM150 juta dan pembinaannya telah empat kali tertangguh.

Jelas beliau faktor kelewatan pembinaan jambatan itu berikutan masalah penanaman cerucuk di dasar Sungai Kelantan yang mempunyai struktur tanah yang keras.

"Jabatan Kerja Raya telah mengambil langkah perlu dan mengambil kira pelbagai faktor untuk mengatasi masalah utama itu. Keadaan yang berlaku ini, di luar jangkaan kita," katanya.

Mahktar turut menafikan dakwaan bahawa akibat kelewatan kerja-kerja penanaman cerucuk di dasar sungai itu telah menyebabkan jambatan asal menghadapi masalah dan tidak selamat.

Sebaliknya, beliau berkata JKR sentiasa memantau jambatan asal dan sehingga kini tiada sebarang kerosakan struktur asal jambatan itu.

Sementara itu, beliau berkata keseluruhan projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh di Kelantan adalah sebanyak 477 melibatkan kos RM2.5 bilion dan daripada jumlah itu, 218 projek atau 45.7 peratus siap dilaksanakan.

"Ini bukti, Kelantan tidak dianaktirikan kerajaan Pusat, sebaliknya slogan 'Janji Ditepati' menjadi keutamaan walaupun ada sesetengah projek itu agak lewat untuk disiapkan," katanya sambil menambah kelewatan berpunca akibat kesukaran mendapatkan tenaga buruh. - Bernama

belawok!

No comments

Powered by Blogger.