Ustaz Azizan: Keputusan Di Saat Getir Dipimpin Ketegasan TGHH



Secara kasarnya, pada 9 Mei 2013, inilah yang aku lalui....

Khamis - Jam 4.00 petang, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan isteri, diiringi setiausaha politiknya Dr Syamsuri Mokhtar tiba untuk menziarahi Ustaz Azizan. Aku menyambutnya dari kereta, bersama Pengarah Hospital dan Pasukan Doktor Pakar yang merawat Ustaz Azizan. Dia di bawa ke bilik CCU.

Dalam bilik itu ada ramai pelawat lain, termasuk Dato' Seri Mahdzir Khalid, mantan MB Kedah, kini MP Padang Terap. TGHH meluru terus ke katil dan memerhati. Aku lihat matanya sayu memandang wajah dan tubuh kaku terkujur, seorang sahabat yang telah lama bersama-samanya mengharungi perjuangan ini. TGHH sangat mengenali Ustaz Azizan, dia tahu kehebatan insan yang sedang bertarung dengan maut itu. Jemaah Islam pimpinannya kukuh dan teguh dengan hadirnya insan yang sedang terbaring koma itu.

Secebis dari kehebatan insan bernama Azizan

Ustaz Azizan pernah bercerita - Katanya- Aku malu nak bercerita kat orang, aku kenai ramai dan biasa bergaul dengan ramai Ulama' dan tokoh-tokoh yang memimpin kebangkitan umat Islam di seluruh dunia hari ini, antaranya Rashid Al-Ganoushi, Dr Yusof Qardhawi, Sheikh Qadhi Hussain dan ramai lagi. Ada sesetengah orang baru tengok gambaq orang-orang hebat macam tu, depa dah kata kenai sangat-sangat - ceritanya begini -

Lama dulu, dalam satu persidangan Gerakan Islam antarabangsa, (di London atau Iran, aku sudah lupa) dia mewakili PAS bersama Dato' Fadzil Noor danTGHH. Persidangan itu disertai semua tokoh Ulamak Gerakan Islam Sedunia, termasuk Dr Yusof Al-Qardhawi, Dr. Kurshid Ahmad, Dr. Rashid Al-Ghanoushi, tokoh-tokoh Ikhwan dan ramai lagi.

Dalam satu bab yang menjadi perdebatan mereka para ulamak, Ustaz Azizan telah berhujjah panjang, bertembung ilmunya dengan Rashid Al-Ghanoushi (dalam bahasa arab). Akhirnya persidangan itu menerimapakai hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Azizan. Esoknya, Ustaz Azizan lewat masuk ke persidangan, Dr. Rashid Al-Ghanoushi tercari-cari Ustaz Azizan dan meminta TGHH segera membawa Ustaz Azizan masuk ke persidangan. Katanya memperi perumpamaan - "Aku ni macam sarjan polis yang dok ukur jalan kes eksiden tu, walaupun pangkat tak tinggi, tapi main dengan lamanya pengalaman dia kerja, kadang-kadang ASP pun mai tanya dia lagi. Pandai tak la pandai, tapi hidup dengan mengajar dan dikelilingi buku dan ilmu, aku buleh la berhujjah sikit-sikit".

Ustaz Azizan tidak suka bercerita tentang kebolehannya, dia hanya mempraktikkan ilmu dan kemahirannya. Dia low profile, hanya yang benar-benar kenal dan selalu berinteraksi akan mengenalinya. Pada satu ketika di awal tahun 2008, dia marah bila saya membawa cadangan seorang rakan (Hj Nan) supaya dia memakai jubah dan melayani Sami Budha yang akan mengunjunginya, seperti yang dibuat oleh TGNA. "Hang jangan suruh aku berlakon. Aku dengan cara aku, nak kena berlakon pakai jubah pasai apa? Hang tanya depa tu, dapat pahala ka kalau kita berlakon macam tu...Tok Guru lain, dia memang macam tu dah, dia bukan berlakon!" Aku diam dan mula belajar sesuatu.

Ketika ada cadangan supaya menghebahkan derma dan potongan elaunnya kepada Tabung Tengku Mahmud yang diilhamkan olehnya, Ustaz Azizan berpesan. "Hang jangan dok hebohkan benda baik yang aku buat macam sumbangan bulanan aku kepada Tabung Tengku Mahmud atau kat parti. Aku bukan Tok Guru yang sangat tinggi ikhlas dan tawadduknya. Dia tak pa, aku tak mampu. Nanti timbul riak dan ta'ajub, pahala aku hilang, duit aku pun habis, dosa pulak yang mai." Pengalaman istimewa bersama insan berusia 69 tahun bernama Ustaz Azizan Abdul Razak akan aku kisahkan kemudian.


Keputusan Besar Dengan Panduan Seorang Pimpinan

Aku memperkenalkan Dato' Doktor Hamzah (pakar bedah) kepada TGHH supaya dia mendapat gambaran penyakit Ustaz Azizan. "Tuan Guru, Ustaz Azizan sedang tenat.....TGHH menganggukkan kepalanya beberapa kali sepanjang penerangan itu. Turut mendengar penjelasan itu ialah MP Padang Terap yang berdiri di sebelah TGHH. Wajahnya turut cemas dan simpati. TGHH masuk sekali lagi ke sebalik tirai yang menempatkan Ustaz Azizan, membuka selimut di kaki sahabatnya itu....

Dia bercakap serius dan tegas dengan isteri kedua Ustaz Azizan, Ustazah Samsiah yang sentiasa menunggu dan membaca Yaasin di situ sejak pagi. TGHH bersungguh sungguh menjelaskan dan cuba meyakinkan sesuatu kepada warisnya itu. (Orang tua Ustazah Samsiah adalah dua pupu kepada TGHH). "Sediakan saya bilik mesyuarat, panggil semua ahli keluarga yang ada, dan jemput doktor-doktor pakar datang, saya mahu berbincang dan mendengar pandangan". Kata TGHH. Aku mengekorinya ke sebuah bilik di sebelah kiri ruang yang sesak itu.

Memang sejak doktor memaklumkan keadaan Ustaz Azizan dan keadaan kakinya, kuman yang merebak ke tubuhnya, risiko dan kesan yang ada, pendirian keluarga dan kawan-kawan terbahagi dua. Satu pihak menyokong nasihat doktor untuk memotong kedua belah kakinya, sebelah pihak lagi memegang pesanan Ustaz Azizan supaya tidak dipotong. Kalau tak di potong, 100% fatality (kematian), kalau di potong, masih ada peluang untuk hidup.


TGHH bertanya punca-punca Ustaz Azizan sakit hingga ke tahap ini. Saya bercerita panjang sebelum ahli keluarga dan doktor pakar dapat berkumpul. Saya juga ceritakan usaha membawa membawa Ustaz Azizan ke klinik di Bukit Minyak yang tertangguh. "Jangan buang masa yang ada, jangan sampai kita terlambat membuat keputusan, mesyuarat inipun sudah memakan setengah jam". Kata TGHH.

Hj Ismail Wan Teh yang turut berada dalam bilik itu bertanya. "Anta secara pribadi, pada tahap dan keadaan ini, apakah pendirian anta, potong atau tidak?" Aku merenung wajah TGHH, dia menanti jawapan aku. Aku masih berharap dia akan sedar dan aku akan ikhtiarkan rawatan alternatif untuk tidak dipotong. Bila Doktor menjelaskan bahawa mesin bantuan hayat itu tidak mungkin dapat ditanggalkan, bermaksud, jalan alternatif yang ada sudah punah ranah. "Ayah Chik, dalam keadaan di mana jalan alternatif yang saya usahakan sudah tidak dapat dibuat kerana Ustaz tidak boleh dibawa keluar dari sini, saya serahkan pendirian saya kepada keputusan yang Ayah Chik akan ambil. Muktamad!


Ustazah Samsiah masih bertegas tidak bersetuju kaki suaminya di potong. "Ini amanah suami saya." Katanya. "Saya redha kalau sudah sampai masa nyawanya diambil, dia pergi dalam keadaan itu. Itu pesannya kepada saya dan anak-anak malam Rabu sebelum dia koma. "Ayoh Chik, saya yakin ada unsur lain dalam sakit Ustaz, saya mahu mencuba untuk merawatnya dengan kaedah perubatan Islam pula." Kata Ustazah Samsiah sambil cuba mendail satu nombor supaya TGHH dapat bercakap dengan pihak itu.

"Jangan begitu Samsiah, tak boleh bersikap begitu dalam keadaan ini. Itu perkara tidak nampak. Kita kena tengok apa yang nampak dulu. Zahirnya bagaimana. Soal yang tidak nampak kita kira kemudian. Ini persoalan hidup dan mati. Kita perlu buat keputusan untuk menyelamatkan nyawa Ustaz Azizan". TGHH menjelaskan.

"Dari segi syarak pun, inilah kewajipan orang yang masih waras dan sedar, Ustaz Azizan sudah tidak boleh membuat keputusan untuk dirinya. Sanusi pun menerima amanah itu, dia sudah cuba yang termampu. Ustaz Azizan dalam bahaya, mengikut keterangan pakar-pakar, pemotongan kaki perlu dibuat untuk mengelak kuman itu merebak keseluruh tubuhnya. Paling bahaya jika sudah meresap ke organ-organ penting. Kita kena dengar cakap mereka kerana kita bukan pakar. Mereka yang pakar dalam bidang ini. Panggil Faekah ke sini"! TGHH kelihatan sangat tegas dan yakin dengan pendiriannya. Ustazah Samsiah minta diri untuk keluar kerana di situ tiada liputan talian. Dia masih cuba memuat panggilan telefon.

Kak Faekah dan anak-anak masuk dan mendengar penjelasan Doktor dan TGHH. Kak Faekah sudah ada keputusan. Aku berlalu keluar. Ini ruang untuk keluarga membuat pendirian sesama mereka. Bila aku masuk semula, Kak Faekah dan Ustazah duduk bersebelahan di hadapan TGHH dan pasukan Doktor. Kedua-duanya sugul dan menundukkan wajah. Keputusan sudah dibuat. Kak Faekah akan menandatangani surat persetujuan waris untuk mengizinkan pembedahan. Jam menunjukkan pukul 4.45 petang, ketegasan TGHH telah memandu keluarga besar itu membuat satu pendirian yang sangat besar untuk mereka semua, untuk menyelamatkan nyawa insan yang mereka sayangi, insan yang sangat berjasa kepada ummah dan perjuangan Islam.

YAB Menteri Besar Kelantan masuk sebaik saja keputusan dicapai. Pasukan Doktor pakar yang menunggu keputusan keluarga sejak semalam kini mempunyai tanggungjawab besar. "Anything can happen during the operation procedure, even before its start or after that. We do whatever we can, the rest, we pray to Allah". Begitulah lebih kurang ayat akhir Dato' Dr Hamzah. Mereka kemudian meminta izin bergambar bersama kedua tokoh Gerakan Islam yang memimpin PAS itu.

Keluar dari bilik itu seperti terkeluar dari dilema dan kekusutan. Demikianlah sifat dan sikap seorang pemimpin, seorang sahabat dan seorang Tok Guru. Dia memandu kita diwaktu samar, dia tunjukkan jalan menuju cahaya. Dia mampu memberi kata putus dengan hujjah dan pedoman ilmu. Dia merujuk dan menghormati kebolehan orang lain dalam bidang mereka, dia melihat apa yang lebih utama (aulawiyat) di waktu pilihan berpecah dua. Dia tegas dan bersungguh -sungguh. Pertimbangannya menghasilkan keputusan yang jelas dan kukuh. Dia hadir membawa sinar penyelesaian dalam kekusutan. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Jam 7.00 petang, Ustaz Azizan yang sedang koma dipindahkan ke dewan pembedahan, sekitar jam 11.00 malam, separuh tubuhnya di bawa keluar ke ICU, separuh lagi meluncur di jalan menuju pusara persemadian di Muassasah Darul Ulum. Aku berserah kepada Allah atas apa yang telah ditentukan untuk seorang pimpinan Jemaah Islam yang sangat aku kasihi. Dia bukan sahaja bapa kepada anak-anaknya, dia seperti ayah buat kita semua. Dia kini masih terbaring di wad itu... Menjalani takdir dari Allah yang Maha Esa.

http://sanusisetpol.blogspot.com/2013/05/aku-dan-ustaz-azizan-keputusan-besar.html

No comments

Powered by Blogger.